MUHAMMAD SAFAWI RASID (kiri) pastinya mula membuka mata pasukan lawan setelah dua golnya membantu Malaysia menumpaskan Korea Selatan 2-1 kelmarin.
19 Ogos 2018 3:00 AM
JAKARTA 18 Ogos - Muhammad Safawi Rasid menjadi fenomena baharu dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia berikutan kehebatannya ketika menjaringkan dua gol ketika membantu skuad negara mencipta kemenangan pertama dalam tempoh 44 tahun ke atas Korea Selatan dalam Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang semalam.
Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu menampilkan aksi memukau dalam dua aksi yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung menerusi jaringan-jaringan menarik untuk memastikan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee menerajui Kumpulan E dengan enam mata sekali gus menempah tempat dalam pusingan kalah mati.
Pemain berusia 21 tahun yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui sangat gembira dengan prestasi semasanya terutama selepas menjadi watak penting ketika menundukkan Korea Selatan yang memiliki bintang Piala Dunia, Son Heung-min.
“Kami mendengar setiap arahan yang diberikan dan melaksanakannya dengan baik. Saya sangat berbangga dengan aksi rakan-rakan sepasukan dalam perlawanan ini.
“Kemenangan ke atas pasukan hebat seperti Korea Selatan yang diletakkan sebagai pasukan pilihan dalam temasya ini sememangnya memberikan keyakinan kepada kami,” katanya.
Pemain yang berasal dari Kampung Bukit Chatak itu memulakan karier remajanya bersama pasukan T-Team sewaktu berusia 15 tahun dan sentiasa berada dalam kesebelasan utama pasukan bagi setiap perlawanan.
Dia yang ketika itu bermain di bahagian tengah kerap menjaringkan gol dari jarak jauh dengan menggunakan kaki kiri, selain sering dipilih untuk bersama Terengganu dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).
Safawi kemudiannya meneruskan karier bersama pasukan T-Team sebelum menyertai JDT pada 2017.
Bakatnya semakin terserlah apabila dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun lalu jaringannya menerusi rembatan jarak jauh membantu Malaysia menundukkan Brunei. Dia turut meledak satu lagi gol ketika bertemu Myanmar.
Meskipun tewas dalam perlawanan akhir kepada Thailand, namun Safawi dipilih sebagai antara pemain terbaik temasya selepas menampilkan aksi konsisten.
Selepas dua perlawanan di Bandung, Safawi telah menjaringkan tiga gol termasuk satu menerusi penalti ketika Malaysia menumpaskan Kyrgzystan 3-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E.
Malaysia, yang hanya memerlukan seri dengan Korea Selatan untuk mara ke pusingan kedua, kini di anak tangga pertama dengan enam mata manakala pasukan Heung-min kedua dengan tiga mata.
Malaysia akan bertemu pasukan di tempat terbawah Bahrain dalam perlawanan terakhir peringkat awal pada Isnin dengan misi untuk menang agar tidak telepas kedudukan teratas. Korea Selatan pula akan bertemu Kyrgzystan. – MINGGUAN
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safawi-cetus-fenomena-1.731970#ixzz5Od3b9fwR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan