SAFIQ (kanan) tidak ada perasaan gentar untuk menghadapi Vietnam pada separuh akhir kedua di Hanoi, Sabtu ini.
"KAMI sudah mengalami tekanan di tempat lawan ketika aksi peringkat kumpulan di Jakarta. Jadi harap ia dapat dikekalkan apabila kami beraksi di Hanoi nanti."
Demikian jelas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim ketika ditanya tentang persediaan mereka menentang Vietnam pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.
Safiq telah beraksi cemerlang pada aksi separuh akhir pertama malam tadi apabila sepakan percumanya pada minit ke-60 berjaya ditanduk masuk Safee Sali untuk gol pertama Malaysia.
Pemain berusia 23 tahun itu sekali lagi terlibat untuk gol kedua Malaysia setelah rembatan awalnya gagal ditangkap kemas penjaga gol Vietnam sebelum disambar kemas oleh Safee pada minit ke-79.
"Ketika dalam bilik persalinan sewaktu rehat separuh masa pertama, jurulatih (K. Rajagobal) telah memberi kami nasihat dan tunjuk ajar terhadap segala kesilapan yang dilakukan pada babak pertama.
"Jadi, apabila memasuki padang untuk babak kedua, kami cuba baiki segala kesilapan tersebut dan alhamdulillah kami berjaya mendapatkan dua gol," kata Safiq selepas perlawanan.
Menjelang aksi kedua Sabtu ini, Safiq berkata: "Kami akan cuba untuk terus mempamerkan aksi seperti separuh masa kedua tadi (semalam) serta meningkatkan mentaliti untuk menghadapi tekanan penyokong lawan."
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz44UiYfhXv Hakcipta terpelihara