Selasa, 18 Mei 2021

Tolonglah Fifa!!!

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



STUART berharap Fifa perlu tampil dengan satu penyelesaian atau ketetapan yang saksama. FOTO OWEE AH CHUN

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) melakukan pertimbangan sewajarnya dengan membuat ketetapan adil dan saksama kepada semua pasukan yang terbabit dalam saingan Pusingan kedua, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam menerusi kenyataan medianya memaklumkan bahawa pihaknya menghantar surat rayuan rasmi kepada Fifa berhubung kesan penarikan diri Korea Utara daripada saingan kelayakan Jun depan.

Beliau berkata, penarikan diri Korea Utara yang membawa pelbagai kemungkinan termasuk pungutan mata pasukan di kedudukan terakhir setiap kumpulan tidak akan dikira.

Katanya, situasi berkenaan sekali gus menyukarkan perancangan serta peluang kebanyakan pasukan memandangkan pusingan kedua itu sudah memasuki penghujung saingan dengan berbaki tiga atau empat perlawanan.

"FAM menegaskan supaya Fifa perlu tampil dengan satu penyelesaian atau ketetapan yang saksama kepada semua pasukan dengan menitik beratkan semangat 'Fair Play' dan mengambil kira faktor integriti dalam sukan," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Fifa mempunyai kuasa untuk menentukan 'nasib' pasukan bertanding apabila Korea Utara secara sah menarik diri daripada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam.

Situasi berkenaan menyaksikan laluan skuad Harimau Malaya lebih berliku dalam usaha melayakkan diri secara merit ke Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia jika peraturan 6 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terpakai.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John apabila akan merujuk kepada Fifa untuk menentukan kemungkinan keputusan aksi menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan tidak akan dikira atau sebaliknya.

Malah, Fifa kemungkinan akan menggunakan kaedah lain untuk menyelesaikan masalah terbabit berdasarkan situasi semasa dengan rata-rata pasukan bertanding berbaki tiga perlawanan saja lagi.Disiarkan pada: Mei 17, 2021 @ 10:08pm.1

______________________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan