Selasa, 18 Mei 2021

Skuad Harimau Malaya ada `senjata rahsia' ke UAE

Oleh Zulfaizan Mansor - Mei 17, 2021 @ 9:28pm

zulfaizan@bh.com.my



Pemain naturalisasi, Guilherme De Paula (kiri) giat berlatih bersama rakan sepasukan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang tadi. - Foto ihsan Facebook FAM.

KUALA LUMPUR: Kapten skuad Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak mendedahkan mereka memiliki beberapa 'senjata rahsia' yang masih belum diketahui pasukan lain bagi menghadapi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai bulan depan.

Pemain berusia 33 tahun itu berkata antara senjata baharu skuad kebangsaan itu adalah dengan kehadiran dua pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang akan membuat penampilan pertama buat skuad Harimau Malaya.

"Saya rasa Malaysia juga boleh dianggap seperti UAE (Emiriah Arab Bersatu) kerana ramai pemain dipanggil adalah muka baharu seperti Liridon dan De Paula yang mereka tidak tahu cara kedua-dua pemain ini bermain.

"Mungkin itu senjata untuk pasukan kita dan kebanyakkan pemain yang ada pernah bermain dengan UAE. Saya harap dengan adanya mereka bersama pasukan, ia boleh mengganggu taktikal lawan.

"Ia salah satu taktikal yang bagus dan satu perkara positif untuk pasukan kebangsaan," katanya pada sidang media yang diadakan secara maya.

Selain itu, Aidil juga menegaskan dia tidak berasa terbeban dengan tanggungjawab sebagai ketua pasukan untuk berdepan misi penting dalam kempen kelayakan.

"Bagi saya perlawanan akan datang bukan satu tugas berat sebagai kapten. Itu amanah untuk saya dan tidak mengambilnya sebagai bebanan.

"Saya dan rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan dan itu satu cabaran untuk diri sendiri dalam karier bola sepak selain membuktikan kepada penyokong kita di skuad kebangsaan akan bermain mati-matian dan walau apapun terjadi," katanya.1

________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan