Muzaffar Musa
Mei 19, 2021 21:12 MYT
Irfan mahu rebut kesebelasan utama Cheng Hoe
Pertahanan tengah skuad negara, Irfan Zakaria, tidak mahu ketinggalan dalam merebut kesebelasan utama Harimau Malaya menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.
Selepas pilihan utama, Shahrul Saad, tidak dapat bersama pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu berikutan kecederaan lutut, persaingan di posisi pertahanan tengah kini melibatkan bekas tonggak Harimau Muda itu dengan dua pemain dari liga luar negara, iaitu Junior Eldtsal dan Dominic Tan.
Pemain Kuala Lumpur City FC itu membulatkan tekadnya bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama Cheng Hoe dan enggan statusnya sebagai pemain dalam liga tempatan menjadi sebab dia disingkirkan.
Perebutan itu tampak menarik memandangkan aksi pertama menentang pasukan tuan rumah, UAE, 3 Jun ini pasti memerlukan saiz fizikal yang besar tetapi Irfan berasakan dia mempunyai kriteria itu.
"Seperti yang kita tahu, Dominic dan Junior bermain di Thailand. Saya perlu bekerja keras dalam latihan dan menunjukkan apa yang saya ada sewaktu latihan," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.
"Apabila jurulatih dapat melihat saya bekerja keras dalam latihan, Insya-Allah kalau ada rezeki, mungkin saya akan disenaraikan untuk bermain.
"Kerana saya sudah bekerja keras dalam latihan dan belajar daripada setiap kesilapan.
"Kita tahu UAE memiliki kelebihan fizikal yang besar dan tinggi cuma pada pendapat saya, kami sebagai pasukan perlu memiliki satu hati dan jiwa ketika berada di atas padang dan semua pemain apabila diberikan peluang perlu memberikan lebih daripada 100 peratus," katanya.1
__________________________________________________________
1https://www.stadiumastro.com/bola-sepak/irfan-mahu-rebut-kesebelasan-utama-cheng-hoe-194630
Tiada ulasan:
Catat Ulasan