Isnin, 17 Mei 2021

Tenang dan lawan – Cheng Hoe



Oleh SUFIAN HADI SOJAK

17 Mei 2021, 2:16 pm

PETALING JAYA: Bukan masa untuk meratapi kemungkinan kehilangan enam mata, sebaliknya skuad Harimau Malaya perlu memberikan tumpuan terhadap baki perlawanan dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Biarpun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) belum mengesahkan impak daripada pengunduran Korea Utara daripada kempen itu, namun ia sedikit sebanyak telah mengganggu mental skuad kebangsaan untuk mengharunginya.

Perkara tersebut diakui jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, namun enggan mengambil pusing terhadap perkara itu dan hanya mahu menunggu keputusan daripada AFC.

Ketika ini saya rasa kami perlu lebih fokus kepada permainan kami di samping juga menunggu keputusan AFC.

Sudah pasti penarikan diri Korea Utara daripada kempen kelayakan mungkin akan memberi kesan kepada keyakinan dan mental kami.

Namun, ketika ini fokus utama kami adalah kepada perlawanan yang akan datang,” katanya pada sidang akhbar hari pertama latihan Harimau Malaya yang diadakan secara maya, semalam.

Semalam, AFC mengesahkan penarikan diri Korea Utara daripada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kebiasaannya, kesan daripada pengunduran tersebut menyebabkan keputusan perlawanan menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan tidak akan dikira.

Jika ia benar terjadi, bermakna pungutan enam mata Malaysia susulan dua kemenangan ke atas Indonesia dalam Kumpulan G tidak akan dikira.

Malaysia bagaimanapun masih berpeluang ke slot automatik Piala Asia 2023 dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022 menerusi kedudukan tempat kedua terbaik.

Selain Malaysia dan Indonesia, turut berada dalam Kumpulan G adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, hanya Syahmi Safari yang belum melaporkan diri bersama Harimau Malaya kerana ada urusan keluarga yang perlu diselesaikan.

Dia (Syahmi) dijangka berlatih bersama kami esok (hari ini) dan sudah pasti kita harap apabila dia datang nanti lebih fokus kepada pasukan dari masalah lain.

Bukan Syahmi sahaja, pemain lain juga saya harap boleh bagi tumpuan 100 peratus terhadap latihan dan persiapan pasukan,” kata Cheng Hoe.1

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/05/tenang-dan-lawan-cheng-hoe/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan