Oleh Syafiq Aznan - Mei 23, 2021 @ 6:55pm
syafiq.aznan@bh.com.myLiridon menjalani latihan terakhir bersama rakan sebelum aksi menentang Kuwait, malam ini.
Liridon menjalani latihan terakhir bersama rakan sebelum aksi menentang Kuwait, malam ini.
KUALA LUMPUR: "Bawa pemain ramai-ramai, kenalah uji semua!" Demikian pandangan jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah yang mengharapkan jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dapat menggunakan segala 'sumber' yang ada pada aksi persahabatan pertama menentang Kuwait, malam ini.
Jelas pemenang 'Double Treble' itu, aksi persahabatan sepatutnya memberikan peluang kepada Cheng Hoe untuk mencari kepelbagaian dari segi taktikal yang boleh digunakan bagi kempen kelayakan kali ini.
"Ada seramai 25 pemain yang dibawa ke Dubai, jadi gunakanlah semua pemain yang ada. Banyak kombinasi yang boleh dicuba Cheng Hoe dengan senarai pemain yang ada di sana.
"Kalau pemain setakat dinilai daripada sesi latihan sahaja, tak boleh juga. Mereka perlu beraksi dalam perlawanan sebenar untuk lihat sejauh mana mereka mampu beraksi di tahap yang tertinggi.
"Sebab ada pemain yang cemerlang masa latihan tetapi apabila bermain, bukan jadi ayam sabung tetapi jadi ayam serama. Kalau untuk aksi persahabatan, tak kisahlah mengenai keputusan asalkan jurulatih mencapai matlamat yang dimahukan daripada perlawanan terbabit," katanya.
Terdahulu, tumpuan pasti terarah kepada barisan pemain yang akan diturunkan Cheng Hoe apabila skuad kebangsaan akan kembali 'bertarung' di pentas antarabangsa buat kali pertama selepas lebih setahun bertemu Kuwait malam ini.
Sementara itu, bekas jurulatih kebangsaan, B Satianathan menjangkakan Cheng Hoe sudah pasti memiliki barisan kesebelasan utama yang dirasakan terbaik dan mampu memberi cabaran kepada Kuwait.
Katanya, tidak ada istilah 'eksperimen' kerana Cheng Hoe sudah arif mengenai kemampuan pemain dan pemain yang dipilih tahu dengan kehendak serta perancangan Cheng Hoe dalam skuad kebangsaan.
"Cheng Hoe pasti akan memilih pemain yang terbaik daripada segi prestasi khususnya pemain yang boleh bermain dengan bola ataupun tanpa bola.
"Saya jangkakan perubahan pasti akan dilakukan dengan senarai pemain pada separuh masa pertama dan juga separuh masa kedua. Aksi malam ini adalah sebagai persediaan untuk aksi kedua menentang Bahrain nanti.
"Cuma saya harapkan walaupun aksi persahabatan, pemain tetap berikan persembahan yang terbaik dan tidak memandang ringan dua perlawanan ini," katanya.1
_________________________________________
Tiada ulasan:
Catat Ulasan