Sabtu, 22 Mei 2021

Harimau Malaya tumpu keserasian

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe menjalani latihan.

Kuala Lumpur: Kepanasan yang mampu mencecah sehingga 40 darjah celsius (°c) di siang hari pastinya memberi sedikit masalah buat mana-mana pasukan menyesuaikan diri terutama bagi negara yang datang dari zon khatulistiwa seperti skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun, cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang juga medan aksi Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu tidak harus dijadikan alasan dengan tempoh 14 hari 'berkampung' sebelum turun menentang tuan rumah pada 3 Jun ini dilihat sudah memadai buat pemain menyesuaikan diri dengan suasana di sana.

Tonggak negara, Safawi Rasid mengakui cuaca di UAE ketika ini cukup panas namun pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) itu yakin rakan sepasukannya mampu mengatasi masalah berkenaan.

"Kita menjalani latihan pada sebelah malam jadi kita tidak rasa seperti siang kerana cuaca pada sebelah siang terlampau panas. Jadi, tidak ada masalah untuk semua pemain dalam perkara ini.

"Cuma pemain perlu segera menyesuaikan diri dengan perubahan ini tetapi tidak menjadi isu kerana kita ada masa yang mencukupi sebelum bertemu UAE nanti," katanya.

Skuad Harimau Malaya yang tiba di UAE pada Khamis lalu kini dalam rangka persiapan terakhir sebelum menyambung baki tiga aksi kelayakan yang ditangguh sebanyak tiga kali sebelum ini ekoran pandemik Covid-19.

Kali terakhir kempen berkenaan dilangsungkan adalah pada November 2019 yang menyaksikan Malaysia meraih dua kemenangan ke atas Thailand (2-1) dan Indonesia (2-0) di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk berada di tangga kedua Kumpulan G dengan mengumpul sembilan mata daripada lima aksi.

Sebelum itu, pasukan kebangsaan turut melakar kemenangan ke atas Indonesia (3-2) di Jakarta sebelum tewas pada dua aksi berikutnya kepada UAE (1-2) di Bukit Jalil dan Vietnam (0-1) di Hanoi.

Lantas, Safawi yang juga bekas pemain Portimonense SC di Liga Portugal melihat dua aksi pemanas badan berdepan Kuwait dan Bahrain adalah medan terbaik untuk pemain kembali mendapatkan rentak selepas hampir dua tahun tidak berlatih bersama.

"Ini adalah aksi pemanas badan, jadi kalau boleh, pemain perlu cepat serasi antara satu sama lain kerana ini sangat penting untuk kita. Dari segi taktikal, kita perlu cepat serasi untuk membentuk kombinasi yang terbaik.

"Saya lihat ini pasukan yang terbaik untuk pusingan kelayakan. Jadi, saya harap semua pemain dapat memberikan sesuatu untuk membantu pasukan," katanya.

Skuad Harimau Malaya dijadual menentang Kuwait malam ini manakala Bahrain pada Jumaat ini.Disiarkan pada: Mei 23, 2021 @ 1:22pm.1

_____________________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan