Rabu, 12 Mei 2021

Bukan pilih pemain dari mana dia datang - Cheng Hoe

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



CHENG Hoe dan barisan kejurulatihan sentiasa memantau pemain-pemain dalam Liga M dan pemilihan itu perlu dilihat dari pelbagai aspek. FOTO AZIAH AZME

Kuala Lumpur: "Kita pilih pemain bukan dari mana dia datang, tetapi mengikut kemampuan beraksi di pentas tertinggi yang jauh berbeza dengan tahap liga kita."

Demikian penjelasan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe susulan kritikan segelintir penyokong yang mempertikaikan senarai 25 pemain yang dipanggil olehnya bagi mengikuti latihan pusat menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad ini.

Katanya, beliau dan barisan kejurulatihan sentiasa memantau pemain-pemain dalam Liga Malaysia (Liga M) dan pemilihan itu perlu dilihat dari pelbagai aspek terutamanya kemampuan mengadaptasi intensiti peringkat antarabangsa.

"Kita sentiasa membuka pintu buat mana-mana pemain ke pasukan kebangsaan dan kita pilih bukan dari mana dia datang. Paling penting pemain dapat berikan sesuatu tapi bukan bermaksud pemain terbabit tak boleh bagi sumbangan tetapi perlawanan antarabangsa tahapnya berbeza.

"Bukan juga saya merendahkan Liga M dengan antarabangsa, tetapi kita kena fahami tahap kedua-duanya berbeza. Cuba tanya mana-mana jurulatih mereka pun tahu suasana berbeza dan intensiti tinggi serta kelajuan bola yang agak berbeza.

"Kita barisan kejurulatihan sudah berbincang dan setuju dengan 25 pemain yang dipanggil ini untuk memikul tugas itu nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, sejurus senarai pemain diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ramai peminat mempersoalkan ketiadaan nama seorang pun pemain dari Terengganu FC yang dilihat lebih menonjol berbanding beberapa tonggak lain dalam senarai itu yang kurang beraksi namun masih diberi kepercayaan oleh Cheng Hoe.

Antara pemain yang dipertikaikan antaranya pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid yang hanya mencatatkan minit permainan kurang daripada 60 minit sepanjang 13 aksi Liga M berlangsung tapi tetap disenaraikan.

"Banyak orang pertikaikan Akhyar, kena faham bukan bermaksud Akhyar akan terus dapat main dalam kesebelasan utama. Dia kena tunjukkan kepada kami dalam latihan dan pada aksi persahabatan nanti.

"Bukan semua 25 akan disenaraikan dalam satu-satu perlawanan, kita kadang-kadang ada 23 pemain yang akan didaftarkan dalam perlawanan. Tapi kena faham, Akhyar masih ada potensi dan dia masih muda serta relevan lagi untuk mewakili negara.

"Dia antara aset masa depan bola sepak kita dan pemain muda yang sudah banyak pengalaman di pentas tertinggi sama ada ketiak bersama JDT dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia) dan skuad negara sebelum ini," katanya bagi menjawab kritikan itu.

Skuad negara akan berlepas ke Asia Timur pada 20 Mei ini bagi mengharungi dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain masing-masing pada 23 dan 28 Mei ini sebelum turun pada aksi pertama kelayakan bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Kedudukan terkini kumpulan G menyaksikan Vietnam di tangga teratas dengan 11 mata diikuti Malaysia (9), Thailand (8), UAE (6) dan Indonesia (0), dan hanya UAE kurang satu perlawanan selepas empat lagi pasukan sudah mengharungi lima aksi setakat ini.Disiarkan pada: Mei 11, 2021 @ 11:44pm.1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan