Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
AKSI barisan pemain negara ketika bertemu Kuwait. FOTO FB FAM
Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad Harimau Malaya diingatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan lenggok badan pemain Asia Barat yang disememangnya diketahui memiliki kemahiran gelecek.
Pesanan itu disampaikan oleh bekas pengendali negara, B Sathianathan buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang sedang melakukan persiapan menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal bulan depan.
Peringatan Sathianathan itu ada benarnya apabila kekalahan 1-4 di tangan Kuwait dalam aksi persahabatan tertutup Ahad lalu menyaksikan tiga gol daripada empat yang dihasilkan lawan berpunca daripada kegagalan pertahanan negara mengawal kelincahan pemain Kuwait.
Berdasarkan video aksi terbabit, jelas kelihatan pemain negara agak mudah diatasi terutama apabila membabitkan sitausi satu lawan satu yang akhirnya memerangkap benteng pasukan.
"Apabila lawan dengan negara dari Arab ini, kita tak boleh pergi sorang maksud saya, apabila nak kawal jangan suka 'buang' badan kerana pemain dari Arab ada kualiti kawalan bola yang baik."Mereka memang dari kecik sudah didedahkan dengan teknik dan kemahiran bola yang bagus hasil adunan bola sepak Sepanyol, Itali dan Brazil. Kita memang takkan dapat kawal jika satu lawan satu.
"Jadi saya fikir, kita kena bermain dengan corak bertahan sambil membuat serangan balas ke kubu lawan seperti mana yang dilakukan ketika menentang UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil dua tahun lalu.
"Saya kira, Cheng Hoe pasti sudah tahu apa yang beliau harus buat dan aksi menentang Bahrain (aksi persahabatan kedua) saya rasa kita akan lihat persembahan yang jauh lebih baik daripada ketika lawan Kuwait," katanya kepada Arena Metro.
Selepas tumbang kepada Kuwait, Malaysia dijadual menentang Bahrain dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa berstatus 'A' di Manama pada Jumaat ini.
Ia sebagai persiapan terakhir sebelum turun menentang UAE pada 3 Jun ini diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) pada kempen kelayakan itu.
Menurut Sathianathan, keputusan aksi bertemu Kuwait tidak boleh dijadikan ukuran mengenai peluang skuad kebangsaan di pusingan kedua kelayakan berkenaan.
"Ramai tak faham, Cheng Hoe buat pertukaran sembilan pemain serentak pada permulaan babak kedua berbanding Kuwait hanya seorang adalah sebab kita tak jumpa barisan terbaik lagi dan sebab itu semua pemain diberi peluang bermain.
"Tapi Kuwait dah ada skuad utama dan jurulatih mereka mahu pemain dapatkan minit perlawanan yang lebih.
"Jadi untuk lawan Bahrain nanti, saya percaya Cheng Hoe akan bariskan skuad utama dan beri main selama sekurang-kurangnya 70 minit atau lebih lagi, dan kita ada enam hari berehat sebelum aksi pertama menentang UAE nanti," katanya.
Disiarkan pada: Mei 25, 2021 @ 10:53pm.
_________________________________________________
Tiada ulasan:
Catat Ulasan