Jumaat, 7 Mei 2021

Kurang 'menyengat'

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Kuala Lumpur: Sepuluh perlawanan Liga Malaysia (Liga M) namun setakat ini penjaring gol terbanyak masih lagi didominasi pemain import sekali gus timbul kerisauan kepada pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Jelas kekuatan jentera serangan sangat diambil berat oleh skuad kebangsaan dalam menghadapi perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun depan.

Mengikut rekod, ketika ini penggempur Perak FC, Guilherme de Paula boleh dikatakan memberi sedikit kelegaan kepada Cheng Hoe apabila berada dalam kedudukan 10 penjaring gol Liga M menerusi empat gol setakat ini.

Namun, kelibat pemain lain hanyalah pemain Melaka United FC, S Kumaahran dengan mencetak tiga gol selain tonggak muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanafi dan perancang Sri Pahang FC, Nor Azam Azih masing-masing dua gol.

Jika melihat kepada statistik itu, situasi berkenaan sebenarnya agak merisaukan Cheng Hoe memandangkan tonggak Harimau Malaya lain seperti Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad selain beberapa pemain di bahagian serangan masih lagi kurang menyerlah dalam kempen Liga M musim ini.

Cheng Hoe berkata, faktor penyerang Liga M dikuasai pemain import menyebabkan pemain tempatan di bahagian serangan kurang menyerlah sekali gus ketandusan gol. Menurutnya, beliau sudah menegur bahagian jentera serangan skuad Harimau Malaya supaya memperbaiki lagi persembahan dan memperbanyak latihan sebagai persediaan mengharungi perlawanan akan datang.

Katanya, pemain Harimau Malaya tidak boleh hanya menumpukan atau mengharapkan latihan kem kebangsaan semata-mata bagi meningkatkan keupayaan masing-masing menjelang perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun depan.

"Saya ada tegur sedikit kepada pemain kebangsaan walaupun kurang beraksi dalam liga namun sentiasa dinasihatkan supaya buat latihan lebih.

"Saya gembira apabila jurulatih pasukan Liga M banyak membantu terutama sentiasa berfikiran positif dalam membantu pasukan negara.

"Jika melihat kepada lima perlawanan awal, memang tonggak penyerang skuad Harimau Malaya agak kurang menyerlah namun diharap perkara itu dapat diatasi," katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2021 @ 7:15am.1

_________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan