Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
AKSI antara skuad Harimau Malaya dengan Kuwait malam tadi. FOTO FB FAM
Kuala Lumpur: Kekalahan besar 1-4 kepada Kuwait cukup berat untuk ditelan oleh skuad Harimau Malaya dan barisan pemain digesa untuk meningkatkan tahap permainan masing-masing menjelang aksi persahabatan kedua menentang Bahrain di Manama, Jumaat ini.
Pengendali negara, Tan Cheng Hoe mengakui beliau masih tidak berpuas hati dengan corak permainan anak didiknya pada perlawanan tertutup di Stadium 7he Sevens, di Dubai, di Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.
Jelasnya, beliau dan barisan kejurulatihan akan menilai dan menganalisis video aksi berkenaan bagi memperbaiki segera kelemahan untuk berdepan Bahrain dan lebih pentingsebelum mengharungi cabaran sebenar menentang UAE, Thailand dan Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 3 Jun ini.
"Kami barisan jurulatih akan menganalisis apa kelemahan dan yang penting kita nak tengok pemain bangkit daripada kekalahan itu dan bermain sebagai satu pasukan.
"Kita juga sekali lagi nak lihat kerjasama berpasukan dan semangat berpasukan dapat kembali kepada pasukan. Walaupun saya dah cuba bagi peluang kepada semua pemain bermain," katanya.
Pada aksi itu, jaringan tunggal skuad Harimau Malaya disumbangkan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula yang mengikat kedudukan 1-1 pada babak pertama sebelum gawang negara dibolosi tiga lagi gol di 45 minit babak kedua.
Kata Cheng Hoe, wujud jurang ketara antara kesebelasan utama dan simpanan yang diberikan peluang beraksi di mana beliau membuat sembilan pertukaran serentak sebelum babak kedua bermula.
"Memang nampak satu jurang yang agak besar juga perlawanan separuh masa pertama dan kedua, dan di situ kami dah boleh tahu gambaran pemain yang kita rasa boleh menggalas sebagai pemain kesebelasan utama dalam pasukan.
"Sudah tentu kita masih lagi ada masa untuk memperbaiki kelemahan dan kita akan meningkatkan lagi kekuatan pasukan yang sebenarnya," katanya.
Aksi berdepan Bahrain Jumaat ini dijangka lebih sukar buat Malaysia jika prestasi terkini pasukan di ranking ke-99 dunia itu diambil kira.
Ia susulan aksi menakjubkan Bahrain yang berjaya mengikat Ukraine (ranking ke-24 dunia) dengan keputusan 1-1 dalam satu aksi persahabatan di Kyiv, Ukraine yang turut berlangsung hari sama.Disiarkan pada: Mei 24, 2021 @ 10:24pm.1
_____________________________________
Tiada ulasan:
Catat Ulasan