SUKAN
SYAFIQ Ahmad (kiri) cuba melakukan sepakan libas ketika skuad Harimau Malaya menentang Kuwait pada aksi persahabatan tertutup di Dubai awal pagi semalam.
Jadikan sebagai pengajaran berguna
Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI
25 Mei 2021, 10:05 am
Cheng Hoe akui aksi Harimau Malaya menentang Kuwait belum memuaskan
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan menekan butang panik selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-4 kepada Kuwait pada aksi persahabatan tertutup yang berlangsung di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium 7he Sevens itu, gol sagu hati negara diledak oleh Guilherme de Paula pada minit ke-28 manakala pasukan lawan berjaya menjaringkan gol menerusi Ahmad Aldhefeery (m-21), Fahad Alhajeri (m-55), Shabaib Alkhaldim (m-61), dan Fahad Al-Alabraim (m-68).
Kata Cheng Hoe, keputusan tersebut sudah tentu menjejaskan sedikit moral pemain selain barisan kejurulatihan juga tidak berpuas hati dengan aksi dipamerkan oleh pasukan sepanjang 90 minit perlawanan.
“Banyak kelemahan yang kita boleh lihat pada perlawanan ini dan saya akui aksi yang dipamerkan tidak memuaskan. Namun, saya tetap menganggap pertemuan menentang Bahrain nanti lebih penting untuk menguji keupayaan pasukan.
“Mengenai perlawanan, saya lihat aksi babak pertama dan kedua memiliki jurang yang besar dan saya tidak terkejut kerana kami menguji hampir semua pemain. Ini adalah pengajaran berguna dan kesempatan buat kami memperbaiki kelemahan yang ada.
zx“Apa yang pasti, keputusan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan moral pasukan dan saya mahu pemain menguatkan mental mereka dan bangkit semula untuk meraih keputusan positif bertemu Bahrain,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
CHENG HOE mengesahkan bayangan kesebelasan utama sebenar hanya dapat disaksikan pada aksi bertemu Bahrain pada Jumaat ini.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengesahkan bayangan kesebelasan utama yang sebenar hanya dapat disaksikan pada aksi bertemu Bahrain pada Jumaat ini kerana ia adalah perlawanan pemanas badan terakhir sebelum bertemu UAE pada saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 4 Jun depan.
“Gambaran kesebelasan utama mungkin akan dapat dilihat pada aksi bertemu Bahrain kerana ia adalah ujian terakhir pasukan dan kami tidak lagi mempunyai masa untuk menguji keserasian pemain sebelum bertemu UAE nanti,” katanya.
Selepas aksi bertemu Bahrain, Harimau Malaya akan melengkapkan tiga baki saingan Kumpulan G dengan bertemu UAE, diikuti aksi menentang Vietnam (12 Jun) dan Thailand (16 Jun) di Dubai.1
______________________________________________
Tiada ulasan:
Catat Ulasan