Khamis, 20 Mei 2021

Jangan ‘pening’ isu Korea Utara

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI

17 Mei 2021, 10:05 am



Cheng Hoe mahu anak-anak buah kekal fokus dengan aksi di UAE

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) semalam mengesahkan Korea Utara telah menarik diri daripada saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sekali gus memberi kesan terhadap pasukan bertanding.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan, beliau hanya mahu memberi fokus terhadap persiapan pasukan selain menyerahkan perkara itu kepada AFC.

Meskipun mengakui penarikan diri Korea Utara mampu memberi kesan terhadap mental pemain, namun beliau berharap semua pemain tetap fokus menjelang perlawanan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Sudah tentu keputusan Korea Utara menarik diri beri kesan kepada kami dari segi keyakinan serta mental. Bagaimanapun, fokus kami tetap kepada perlawanan akan datang.“Selain itu, kami juga akan tunggu apa keputusan AFC berhubung penarikan diri Korea Uta­ra ini. Buat masa ini, kami hanya buat persiapan terbaik,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar yang dibuat secara dalam talian semalam.

Berhubung keputusan Korea Utara itu, AFC menjelaskan, pihaknya akan merujuk isu tersebut kepada Jawatankuasa Penganjur untuk kejohanan FIFA selain akan memastikan maklumat terperinci dimaklumkan nanti.

Meskipun belum ada keputusan daripada AFC berhubung perkara tersebut, namun kebia­saannya keputusan perlawanan menentang pasukan tercorot terbatal sekiranya ada pasukan menarik diri.

Justeru, ia bakal memberi kesan kepada skuad Harimau Malaya berdasarkan kedudukan semasa saingan Kumpulan G, dua kemenangan ke atas Indonesia sebelum ini mungkin tidak diambil kira.

Bagaimanapun, Malaysia tetap memiliki peluang untuk memastikan tempat ke Piala Asia 2023 secara merit dan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dengan mendapatkan tempat kedua terbaik.

Oleh itu, skuad kendalian Cheng Hoe itu perlu bekerja keras bagi memastikan keputusan positif dalam baki tiga perlawanan menentang UAE, Vietnam dan Thailand.

Sementara itu, Cheng Hoe yang juga bekas pengendali Kedah berkata, pemain pertahanan Selangor, Syahmi Safari dijangka menyertai kem latihan hari ini sebaik urusan keluarganya selesai.

Dia dijangka berlatih dengan pasukan esok (hari ini) dan diharapkan fikirannya akan lebih fokus kepada tugas bersama pasukan negara.

Selain Syahmi, saya juga harap pemain-pemain lain boleh beri tumpuan 100 peratus kepada latihan serta persiapan kerana kita akan berdepan aksi penting nanti,” ujarnya.1

________________________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/05/17/jangan-pening-isu-korea-utara/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan