Rabu, 19 Mei 2021

Jangan bergantung harap pemain naturalisasi sahaja

  SUKAN



CHENG HOE menegaskan bahawa semua pemain yang dipanggil dalam skuad Harimau Malaya mempunyai peranan yang penting manakala Liridon serta de Paula juga tidak terkecuali.

Jangan bergantung harap pemain naturalisasi sahaja

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

18 Mei 2021, 10:10 am

PASUKAN negara tidak boleh terus mengharapkan magis daripada dua pemain natura­lisasi baharu, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula bulan depan.

Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe bertegas semua pemain mempunyai peranan yang penting dalam pasukan tetapi tidak menolak impak kedua-dua tonggak tersebut penting khususnya menentang pasukan yang memiliki ke­lebihan fizikal seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Kata Cheng Hoe, barisan kejurulatihan masih lagi menilai aspek taktikal dan teknikal apabila menentang UAE pada aksi pembukaan yang akan berlangsung di Dubai pada 3 Jun depan.

Semua pemain yang dipanggil mempunyai peranan yang penting dan Liridon serta de Paula juga tidak terkecuali. Namun, kami masih lagi menilai daripada sudut taktikal yang akan diatur pada setiap perlawanan nanti.

Tidak dinafikan aspek fizikal juga menjadi salah satu faktor penting dalam memantapkan pasukan tetapi apa yang penting bagi saya adalah keseimbangan daripada semua posisiselain keserasian dalam kalangan pemain,” katanya pada sidang akhbar secara virtual semalam.

Sementara itu, Cheng Hoe turut mengesahkan pemain pertahanan, Syahmi Safari sudah melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan semalam selepas diberikan pelepasan untuk menguruskan hal peri­badi.

Syahmi telah diberi pelepasan kerana ada ujian menimpa keluarganya baru-baru ini. Namun, kami sebagai satu pasukan akan sentiasa memberi sokongan moral kepadanya dan saya harap dia kekal tabah dengan cabaran yang menimpa,” katanya.

Skuad negara akan terbang ke Dubai dan dijadualkan bertemu dengan Kuwait pada 23 Mei sebelum terbang ke Manama untuk aksi persahabatan kedua menentang Bahrain pada 28 Mei pada aksi persahabatan antarabangsa.

Kemudian, Harimau Malaya akan melengkapkan tiga baki saingan Kumpulan G dengan bertemu UAE diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).1

__________________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/05/18/jangan-bergantung-harap-pemain-naturalisasi-sahaja/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan