Rabu, 26 Mei 2021

Harimau Malaya perlu fokus di Bahrain

Oleh Syafiq Aznan - Mei 25, 2021 @ 9:08pm

syafiq.aznan@bh.com.my



Skuad Harimau Malaya selamat tiba di Manama, Bahrain dari Dubai bagi menyambung latihan persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - Foto ihsan Facebook FAM.

KUALA LUMPUR: Kesempatan berubah angin seketika ke Bahrain perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk 'menyegarkan' kembali skuad kebangsaan selepas dirundung kekecewaan tewas 4-1 pada aksi pemanas badan bertemu Kuwait, Ahad lalu.

Justeru, kapten skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak mengharapkan rakan sepasukannya dapat terus memberi sepenuh tumpuan pada misi penting negara dan bangkit memperaga aksi lebih kemas sebelum bertarung pada aksi sebenar di Dubai, bulan depan.

Bagaimanapun, dia tetap gembira dengan perkembangan positif yang ditunjukkan rakan sepasukan selepas hampir seminggu menjalani latihan secara bersama di Dubai.

"Kita akan memperbaiki kekurangan kita pada perlawanan sebelum ini supaya kita dapat bersedia sepenuhnya sebelum menentang UAE. Selepas seminggu berlatih bersama-sama, saya lihat banyak pembaharuan dan perkara positif dalam skuad.

"Saya harap kita akan terus fokus dan memberi komitmen penuh untuk skuad kebangsaan," katanya menerusi video yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Terdahulu, skuad Harimau Malaya berlepas ke Manama, Bahrain meneruskan kem latihan pusat dan berdepan perlawanan persahabatan menjelang baki tiga perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bulan depan.

Di Manama, mereka akan mengharungi aksi persahabatan Tier 1 menentang Bahrain di Stadium Nasional Bahrain, Riffa, malam Khamis ini (waktu Manama) atau awal pagi Jumaat ini.

Ini adalah aksi persahabatan terakhir untuk skuad bimbingan Cheng Hoe dan selepas itu, mereka akan kembali ke Dubai untuk persiapan terakhir bagi tiga aksi penting bertemu UAE, Vietnam dan Thailand.

Untuk rekod, skuad kebangsaan ketika ini menghuni tangga kedua dengan sembilan mata, dua mata di belakang Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G.

Thailand mengikuti rapat di tangga ketiga dengan lapan mata diikuti UAE dengan enam mata namun kekurangan satu perlawanan berbanding tiga pasukan di atas mereka.1

___________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan