Sabtu, 25 Februari 2017

Windsor John Paul

12 negara nasihat venue dipindah
Rozaidi Zulkifli
25 Februari 2017 12:08 AM
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendedahkan, 12 buah negara telah menasihatkan mereka agar memindahkan perlawanan antara Malaysia dengan Korea Utara ke gelanggang berkecuali ekoran hubungan diplomatik kedua-dua negara yang tegang ketika ini.

Malaysia sepatutnya bertemu Korea Utara di Pyongyang dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 pada 28 Mac depan, namun hubungan diplomatik semasa kedua-dua negara dilihat genting sejak pembunuhan abang pemimpin utama republik itu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul berkata, negara-negara itu telah memberi pandangan agar tidak mengunjungi Korea Utara buat masa sekarang berdasarkan situasi politik semasa dan melahirkan rasa bimbang akan tercetus impak negatif terhadap pengelolaan kejohanan.

“Selain nasihat ini (menteri-menteri Malaysia), kita ada 12 buah negara yang turut memberi nasihat jangan pergi ke negara itu (Korea Utara).

“(Bagaimanapun) kalau kita (terus sahaja) ikut nasihat (pihak lain) kita tidak boleh mengelolakan perlawanan.

“Nasihat menteri dengan keputusan kabinet adalah berbeza.

“Kami juga sedang menunggu laporan terperinci daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mengenai situasi sebenar dan juga arahan-arahan yang perlu diberikan kepada kami sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Windsor bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama negara berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan besar venue akan berubah tetapi FAM perlu mengemukakan permintaan rasmi yang disertakan dengan alasan munasabah untuk dipertimbangkan oleh AFC dalam membuat keputusan sama ada perlawanan itu akan diadakan di gelanggang berkecuali atau memilih alternatif lain.

“Benar mereka (FAM) sudah hantar surat sebelum ini dan pihak AFC juga telah hantar surat maklum balas kepada FAM minta mengemukakan perkembangan terkini.

“Adakah terdapat arahan daripada mana-mana pihak (mengenai risiko bermain di sana) ? Kita akan tunggu maklumat lengkap sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kena tunggu FAM, bila mereka mahu hantar surat. Kami mempunyai SOP (prosedur operasi standard) tiga minggu dan kami masih ada seminggu lagi untuk membuat keputusan. Dalam masa seminggu itu kita memerlukan semua laporan terperinci, mengapa mereka boleh bermain atau tidak boleh bermain.

“Jika tiada sebarang laporan terperinci dihantar oleh FAM dalam masa seminggu ini, maka perlawanan akan diteruskan seperti yang telah ditetapkan tetapi kita juga tidak mahu menaikkan ketegangan kerana sekarang ini kedua-dua negara sedang berbincang.

“Kita juga akan membuat keputusan selepas meneliti dari semua aspek,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyuarakan pandangan agar perlawanan kelayakan Piala Asia itu dijalankan di gelanggang berkecuali berikutan keadaan semasa yang dihadapi kedua-dua negara.

SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 25 Februari 2017 12:08 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan