ARKIB : 01/07/2000
MALAYSIA tidak berdaya
menyaingi kepantasan pemain-pemain Korea Selatan apabila ditumpaskan 7-3 pada
pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak Asia Bawah 19 Kumpulan 9 di Stadium
Shah Alam semalam walaupun Azralan Azmi sekali lagi mencipta hatrik.
Anak buah Allan Harris hanya
sempat memberi tentangan kuat sehingga lima minit pertama selepas rehat apabila
Azralan menyumbat gol untuk merapatkan kedudukan kepada 3-2, tetapi jaringan
itu menjadi detik permulaan kepada mimpi ngeri buat Malaysia.
Korea sebelum itu menamatkan
babak pertama dengan selesa, mendahului 3-1 menerusi jaringan sulung perlawanan
oleh Choi Tat-uk hanya 39 saat selepas wisel pertama dibunyikan serta Lee
Chun-soo dan Kim Young-sam, masing-masing pada minit pertama dan 26.
Jaringan Azralan pada minit
ke-50 selepas terdahulu menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-31,
ibarat menjolok sarang tebuan apabila Korea segera bertindak garang untuk
kembali selesa di depan.
Hanya tiga minit kemudian,
Chun-soo kembali meletakkan tekanan ke atas Malaysia apabila menjaringkan gol
pada minit ke-53 untuk menjadikan kedudukan 4-2 sebelum para penyokong tempatan
dihidangkan dengan tiga gol lagi dalam tempoh tiga minit.
Chun-soo sekali lagi menghukum
kelalaian benteng tuan rumah untuk mencipta hatrik pada minit ke-57 sebelum
pemain gantian, Kim Hai-chool menambah dua lagi gol pada minit ke-58 dan 60.
Mendahului 7-2 menjadikan Korea
bermain sambil lewa dan pertahanannya melakukan kesilapan pada minit ke-90 dan
peluang itu mudah dimanfaatkan oleh Azralan untuk menyepak masuk ke dalam
gawang yang terbuka.
Ini adalah hatrik kedua bagi
Azralan yang turut menjaringkan tiga gol ketika membantu pasukannya menumpaskan
Macau 10-0 pada hari pertama kejohanan minggu lepas.
Malaysia akan bertemu Filipina
pada perlawanan terakhirnya pada 4 Julai, sementara Korea pula menentang Macau
esok.
Kemenangan itu meletakkan Korea
selesa di tangga teratas kedudukan Kumpulan 9 dengan mengumpul mata penuh
daripada dua perlawanan sementara Malaysia di tangga kedua dengan empat mata,
mengatasi Singapura dengan kelebihan jaringan gol.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Zax8FmRc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan