ARKIB : 29/06/2000
JARINGAN penyamaan melalui tandukan kencang pada minit ke-90 oleh Mohd. Mazuki Yusof menyelamatkan Malaysia daripada keluar padang tanpa mata apabila mencatat seri 1-1 dengan Singapura pada pusingan kelayakan bola sepak Asia bawah 19 Kumpulan 9 di Stadium Shah Alam, semalam.
Mohd. Mazuki menyambar peluang terakhir perlawanan, yang tercipta hasil sepakan sudut, untuk menewaskan penjaga gol lawan, Lewis Lionel yang sebelumnya bertindak cemerlang menghampakan begitu banyak percubaan berbahaya anak-anak buah Allan Harris sepanjang perlawanan kedua untuk kedua-dua pasukan itu.
Terdahulu, Singapura mengejutkan pasukan tuan rumah apabila penyerangnya, Aliff Shafaein Shafie'e yang hanya berdepan dengan penjaga gol Malaysia, Mohd. Syamsuri Mustafa setelah berjaya melepasi perangkap off-side tidak mensia-siakan peluang pada minit ke-10.
Malaysia sepatutnya mengutip mata penuh perlawanan jika dilihat kepada kemampuan pemain-pemain negara mencorak serangan di samping kawalan bola yang kemas berbanding Singapura, yang sebelum ini kalah 12-0 kepada Korea Selatan.
Tetapi hanya nasib tidak menyebelahi mereka walaupun menguasai perlawanan sejak awal dengan percubaan sulung hadir pada minit pertama oleh penjaring hatrik ketika menentang Macau, Azralan Azmi, tetapi percubaannya hanya menyapa tiang.
Azralan sekali lagi hampa setelah tandukan terbangnya pada minit ke-38 mengenai palang.
Rudie Ramli yang turut menyumbat tiga gol ketika Malaysia membelasah Macau 10-0 Isnin lepas turut membuat pertahanan Singapura resah pada minit ketujuh, tetapi sepakan kaki kirinya hanya sedikit tinggi di atas palang gol.
Percubaan pada minit ke-49 oleh Irwan Fadzli Idrus pula menyaksikan Lewis pantas menghalang sepakan penyerang Malaysia itu.
Pemain gantian, K. Rajan turut hampa setelah sepakan lencongnya dari jarak 20 meter pula hanya menggegarkan tiang kanan gol pada minit ke-88.
Para pemain Singapura pula mempersembahkan corak bertahan, berkumpul di kawasan gol sendiri untuk menghalang setiap serangan Malaysia.
''Sukar untuk bermain dengan pasukan yang mengamalkan corak bertahan, tetapi inilah bola sepak,'' kata Harris selepas perlawanan.
''Singapura pasti tidak mahu dibolosi banyak gol selepas kalah besar kepada Korea Selatan dan mereka telah bertahan dengan baik.''
Beliau bagaimanapun tidak berpuas hati dengan gol Aliff Shafaein yang menurutnya off-side, tetapi penjaga garisan tidak selari dengan kedudukan pemain itu.
''Pemain-pemain juga kecewa kerana mereka sepatutnya menang kerana mengawal keseluruhan permainan dan saya berterima kasih kepada mereka kerana telah berusaha keras,'' tambah beliau.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4ZasH4Mti © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan