SOKONGAN padu peminat bola
sepak tempatan menjadi pendorong Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan
Ibrahim menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM).
Menurut kenyataan laman
Facebook Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers, baginda
bertitah usaha untuk meningkatkan kembali mutu bola sepak tanah air bukan
terletak kepada seorang individu semata-mata tetapi melibatkan kerjasama semua
pihak.
“Untuk mengubah dan merombak
FAM, inilah peluang kita (rakyat). Inilah peluang kita untuk mengubah buat
selama-lamanya dan kembalikan ia menjadi seperti Jepun, Thailand dan
negara-negara lain yang berjaya.
“Saya tidak dapat
menyelesaikannya sendirian. Ini bukan perancangan individu dan jika saya ingin
melakukannya, saya lakukannya bersama rakyat. Ini adalah masa untuk kita
mempertingkatkan dan menuju ke hadapan bersama-sama,” titah baginda.
Mengambil contoh pasukan JDT,
Tunku Ismail menegaskan kerjasama erat dalam kalangan individu kelab berkenaan
menjadi punca mereka dikenali di seluruh dunia.
“JDT adalah bukti yang jelas
tetapi anda perlu memahami bahawa JDT adalah sebuah kelab. FAM adalah
organisasi besar dengan langkah untuk mempertingkatkannya bukanlah untuk skuad
kebangsaan pergi ke Piala Dunia tetapi ia perkara pertama yang perlu dilakukan
untuk membersihkan rumah kita dan untuk memperbaiki struktur persatuan,” titah
baginda.
Baginda pada masa sama
menekankan pentingnya untuk anggota-anggota gabungan FAM bekerja keras membantu
kelab mereka sendiri selain mengembalikan kuasa bola sepak kepada rakyat dalam
usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.
Tunku Ismail turut membuka
peluang kepada mana-mana penyokong bola sepak untuk memberikan pandangan mengenai
bola sepak sewaktu baginda berada di Kuala Lumpur, minggu depan.
Baginda bakal mewakili ayahanda
baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-245
yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula 22 Februari di Istana
Negara.
Tunku Ismail bakal dicabar
bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa untuk
jawatan Presiden FAM pada pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi
penggal 2017-2021 yang diadakan serentak dengan Kongres Tahunan FAM ke-53 pada
25 Mac nanti. – BernamaSumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4Z1qSSQNf
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan