Sabtu, 4 Februari 2017

Insa 'buka mata' OKS

INSA (gambar kecil) kini bersama skuad Tok Gajah.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my 
Petaling Jaya: Pemain kacukan Francisco Javier Insa Bohigues yang menyarung jersi skuad Liga Super Pahang mendapat perhatian jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee kerana beranggapan pemain itu mampu memperkuatkan pasukan khususnya di bahagian pertahanan.

Dia yang turut dikenali sebagai Kiko Insa, 29, pada mulanya didaftarkan pemain import skuad Tok Gajah musim ini namun kemudian diiktiraf pemain tempatan apabila memiliki kad pengenalan Malaysia dua minggu lalu.


Kiko Insa yang dilahirkan di Alicante, Sepanyol tetapi neneknya berasal dari Kuala Lumpur, sudah diturunkan jurulatih Dollah Salleh ketika Pahang seri 1-1 dengan Perak dan membelasah T-Team 5-0 dalam aksi Liga Super.

Ternyata aksi awal pemain tengah itu yang turut boleh beraksi di bahagian pertahanan memikat Kim Swee yang kini sedang mencari pemain dalam persiapan mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2017 bermula Mac depan.

“Bergantung kepada status, saya kena teliti dari segi sama ada dia mempunyai pasport Malaysia. Sudah pasti dia pemain yang bagus cuma kita kena melalui beberapa proses terlebih dulu, jika peraturan membenarkan, saya memang berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Tapi saya tak boleh terus kata boleh, takut nanti AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) tak benarkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media bulanan skuad Harimau Malaysia semalam.

Kiko Insa yang pernah beraksi dengan kelab divisyen tiga Sepanyol CD Alcoyano dan kelab Belgium UR Namur juga boleh berbahasa Indonesia kerana pernah mewakili Arema FC dan Bali United.

Kim Swee mengakui kehadiran pemain ini boleh membantu, apatah lagi beliau berdepan masalah di bahagian pertahanan tengah ketika mengharungi kempen Piala AFF tahun lalu.

“Ya (ada menyaksikan dia bermain). Kita tahu ada masalah di bahagian pertahanan, dengan adanya dia, saya harap ia akan membantu. Tapi kita perlu sahkan sama ada dia boleh bermain terlebih dulu,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:28 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan