Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
SKUAD negara dijadualkan
menentang Korea Utara di Pyongyang pada aksi pembuka tirai Kumpulan B kempen
kelayakan akhir Piala Asia 2019.
PERLAWANAN pembuka tirai
melibatkan Malaysia menentang Korea Utara pada pusingan akhir Kelayakan Piala
Asia 2019 mungkin akan berlangsung di gelanggang berkecuali bagi mengelak
sebarang kemungkinan berlaku gara-gara konflik antara kedua-dua negara itu ekoran
kes pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2
(KLIA2) di Sepang, Selangor minggu lepas.
Jong-nam merupakan abang tiri
kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar kecil) ketika
mengesahkan perkara tersebut menjelaskan bahawa perubahan venue akan ditentukan
oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Mengenai pertemuan melibatkan
Malaysia menentang Korea Utara pada 28 Mac depan di Stadium Kim Il-sung,
Pyongyang, FAM telah berhubung dengan AFC serta pihak kedutaan Malaysia di
Pyongyang bagi mengetahui situasi terkini dan berdasarkan perbincangan saya
dengan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul, isu mengenai keselamatan tidak
akan menjadi masalah andai perlawanan tersebut kekal diadakan di negara
berkenaan.
“Kalau FAM rasa tidak selamat,
kami akan terus berhubung dengan AFC dan mereka akan membuat keputusan. Jika
keadaan masih berbahaya, perlawanan tersebut akan ditangguhkan atau diubah ke
lokasi berkecuali.
“Kemungkinan besar untuk
mengadakan perlawanan tersebut di gelanggang berkecuali adalah lebih tinggi,”
kata Hamidin ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM, Kelana
Jaya semalam.
Menurut Hamidin, pihaknya akan
terus memantau keadaan selain menyerahkan segala keputusan muktamad kepada
pihak AFC.
Sebagai rekod, skuad Harimau
Malaysia yang dalam misi melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2019 dijadualkan
menentang Korea Utara pada aksi pembuka tirai Kumpulan B di Pyongyang pada 28
Mac depan.
Bagaimanapun, rantau Asia
dikejutkan dengan kes pembunuhan Jong-nam di KLIA2 minggu lepas.
Situasi tersebut sekali gus
mencetuskan kebimbangan mengenai tahap keselamatan skuad kebangsaan atau bakal
berlaku sebarang sekatan di Pyongyang berdasarkan ketegangan melibatkan
kedua-dua negara ketika ini.
Selain Korea Utara, skuad
kendalian Datuk Ong Kim Swee itu turut diundi bersama Hong Kong dan Lebanon
dalam Kumpulan B.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ZK2gnGZv
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan