Jumaat, 10 Februari 2017

TMJ hangatkan teka-teki pencalonan Presiden FAM

 Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
 TUNKU Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus merancakkan teka-teki berhubung perebutan untuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Semalam baginda seolah-olah memberikan bayangan tidak akan bertanding jawatan tersebut dalam Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac depan.

Tunku Ismail merupakan salah seorang daripada empat tokoh yang menerima pencalonan daripada ahli gabungan FAM untuk bertanding jawatan tersebut.

Tiga lagi tokoh lain ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Daripada empat tokoh tersebut, Tunku Ismail dilihat paling layak mengisi jawatan tersebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tengku Abdullah mengambil keputusan melepaskan ‘kerusi panas’ badan induk bola sepak negara itu yang dipegang baginda sejak 2014.

Potensi untuk menyaksikan Tunku Ismail menjadi presiden baharu FAM semakin cerah apabila ayahanda baginda, Sultan Ibrahim telah berkenan memberikan ‘lampu hijau’ kepada TMJ untuk bertanding pada pertemuan dengan beberapa ahli gabungan FAM di Istana Pasir Pelangi Johor Bahru minggu lalu.

Bagaimanapun, Tunku Ismail ketika diwawancara menerusi laman sosial Facebook Johor Southern Tigers (JST) semalam tampil dengan nada berbeza apabila menyatakan bahawa baginda belum berfikir untuk terlibat dalam Kongres FAM ke-53 itu nanti.

Titah Tunku Ismail, baginda meramalkan Khairy atau ‘proksi’ menteri itu adalah antara calon yang memiliki peluang untuk menjadi presiden baharu FAM.

Dalam wawancara tersebut, wartawan JST bertanya: “Siapa yang Tunku rasa akan menang pemilihan FAM nanti? Khairy Jamaluddin atau ‘proksi’ menteri? TMJ menjawab bahawa baginda tidak ada peluang nak melawan orang politik, lagipun datang dari negeri kecil dan jaga kelab kecil.

Wartawan tersebut turut bertanya sama ada TMJ akan terima pencalonan tersebut dan baginda secara terbuka bertitah bahawa buat masa ini tidak terfikir apa-apa lagi kerana sedang sibuk bekerja untuk membeli sebuah kelab bola sepak luar negara, kemungkinan di Eropah kalau ada rezeki selain sibuk menjalankan tugas di Johor.

“Saya ini orang angkuh, mana layak. Yang layak hanya orang-orang politik, menteri yang jujur, bijak tentang bola sepak dan berintegriti,” titah baginda dalam wawancara tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan beberapa pemerhati bola sepak optimis Tunku Ismail akan tampil menerajui FAM, namun baginda masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima pencalonan tersebut.

Semua individu yang telah menerima pencalonan untuk merebut jawatan yang dipertandingkan pada kongres itu nanti mempunyai masa sehingga 20 Februari ini untuk mengesahkannya.

Setakat ini, Annuar muncul individu pertama menyerahkan pengesahannya untuk bertanding jawatan Presiden FAM manakala Khairy mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

Semalam, Annuar turut mengesahkan bahawa beliau akan tetap bertanding tanpa mengira siapa yang bakal menjadi lawan pada pemilihan itu nanti.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4YK4BNzFH Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan