Isnin, 6 Februari 2017

Kim Swee 'berguru' sebulan bersama QPR

3 FEBRUARI 2017
Kim Swee 'berguru' sebulan bersama QPR Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee pada sidang media AirAsia taja Datuk Ong Kim Swee dan Brad Maloney berguru sebulan di QPR di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini. - Foto Bernama
KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee diberi peluang untuk 'berguru' selama sebulan di London bagi mengikuti program bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queen Park Rangers (QPR).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemergian Kim Swee bersama penolong jurulatih kebangsaan, Brad Maloney dari 7 Februari hingga 8 Mac ini dilihat mampu memberi manfaat dan faedah sepenuhnya kepada beliau dan juga pasukan kebangsaan.

Hamidin menjelaskan program tersebut ditaja sepenuhnya oleh AirAsia menerusi inisiatif Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, yang juga pemilik kelab berkenaan.

"Kim Swee dan Brad akan diberi peluang untuk melihat sendiri sesi latihan pasukan utama QPR di Harlington, yang merupakan pusat latihan QPR di bawah kendalian Ian Holloway bersama barisan kejurulatihannya.

"Dari situ, Kim Swee dan Brad akan diberi kesempatan untuk berbincang dan mempelajarai sesuatu yang baharu mengenai kaedah latihan, taktikal dan persiapan menjelang perlawanan," katanya pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM, hari ini.

Sementara itu, Kim Swee mengakui peluang keemasan itu akan memberikan impak positif kepada kemahiran kejurulatihan beliau dan Brad yang akan digunakan sebaik mungkin dalam meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

"Peluang untuk melihat sendiri skuad utama QPR menjalani latihan serta mengikuti perkembangan pasukan akademi mereka ini pasti memberikan satu pengalaman dan pendedahan yang amat berguna kepada kami.

"Selain dapat meningkatkan mutu kemahiran kejurulatihan kami, segala ilmu dan kaedah latihan yang dipelajari semasa di sana akan saya gunakan bersama skuad kebangsaan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata program itu adalah permulaan kepada jalinan kerjasama antara FAM dan QPR yang turut akan melibatkan penghantaran jurulatih dan pemain ke kelab berkenaan serta kehadiran pakar dari QPR ke negara ini.

"Kerjasama jangka panjang ini adalah salah satu sumbangan kami dalam membantu memartabatkan semula bola sepak Malaysia," katanya. - Bernama


Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 3 FEBRUARI 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan