MyMetroArena
Serbegeth Singh
Setiap kali ada perubahan dalam
perkembangan bola sepak negara, kita diheret semula dengan keputusan yang
menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Tahun ini, kita gembira
apabila pasukan negara bertindak cemerlang pada Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC
Januari lalu dan baru-baru ini, pada Sukan Asia 2018 Jakarta Palembang.
Namun setiap kali pula kita
mematikan enjin kerana terpaksa berdepan dengan Mongolia, Bhutan dan Fiji. Tiga
pasukan ini lebih rendah tahap berbanding Iraq, Jordan, Arab Saudi serta Korea
Selatan yang menjadi lawan di China pada Januari lalu. Walaupun empat pasukan
itu hanya skuad B-23 tetapi persaingan dan tahapnya jauh lebih baik berbanding
Mongolia, Bhutan dan Fiji.
Ini bermakna kita tidak dapat
langsung manfaat daripada perlawanan menentang Mongolia dan Bhutan. Jelas
agenda bola sepak tidak diambil berat tetapi agenda Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) mengejar ranking lebih penting.
Kini pula, selepas keghairahan
Sukan Asia, dengan persembahan yang membuktikan bola sepak Malaysia sudah boleh
melayan taktik serta strategi yang fleksibel, kita terpaksa melayan Taiwan dan
Kemboja.
Dua pasukan ini tidak setanding
dengan pasukan B-23 yang menjadi pesaing kita di Sukan Asia. Taiwan dan Kemboja
dengan skuad senior masih lagi berada di tahap lebih rendah berbanding
Kyrgyzstan, Bahrain, Korea Selatan dan Jepun.
Kesimpulannya, skuad B-23 negara
sentiasa menentang pasukan yang jauh lebih hebat berbanding senior.
Inilah satu lagi sebab mengapa
pemain dari pasukan B-23 harus memegang tanggungjawab sebagai pemain skuad
senior.
Sementara itu, Singapura
mendahului Malaysia 9-1 dalam senarai pemain yang beraksi di luar negara. Ketua
jurulatih mereka, Fandi Ahmad memanggil Hassan Sunny dari Army United, Izwan
Mahbud (Nongbua Pitchaya), Baihakki Khaizan (Udon Thani), Zulfahmi Ariffin
(Chonburi) dan Gabriel Quak (Navy FC). Kelima-lima pemain ini beraksi di
Thailand.
Senarai empat lagi pemain yang
beraksi di Malaysia pula diketuai Hariss Harun (JDT), Safuwan Baharudin
(Pahang), Faris Ramli (PKNS FC) dan Shahdan Sulaiman (Melaka United).
Manakala, pasukan negara hanya
mempunyai Shahrel Fikri Fauzi dari kelab Nakhon Ratchasima FC di Thailand.
Kekuatan mental serta karakter
pemain bola sepak Singapura yang tidak segan meninggalkan “zon selesa” sudah
tentu ada kaitan dengan khidmat negara yang wajib di negara itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 1 September 2018 @ 3:00 AM