Sabtu, 25 Februari 2017

Windsor John Paul

12 negara nasihat venue dipindah
Rozaidi Zulkifli
25 Februari 2017 12:08 AM
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendedahkan, 12 buah negara telah menasihatkan mereka agar memindahkan perlawanan antara Malaysia dengan Korea Utara ke gelanggang berkecuali ekoran hubungan diplomatik kedua-dua negara yang tegang ketika ini.

Malaysia sepatutnya bertemu Korea Utara di Pyongyang dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 pada 28 Mac depan, namun hubungan diplomatik semasa kedua-dua negara dilihat genting sejak pembunuhan abang pemimpin utama republik itu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul berkata, negara-negara itu telah memberi pandangan agar tidak mengunjungi Korea Utara buat masa sekarang berdasarkan situasi politik semasa dan melahirkan rasa bimbang akan tercetus impak negatif terhadap pengelolaan kejohanan.

“Selain nasihat ini (menteri-menteri Malaysia), kita ada 12 buah negara yang turut memberi nasihat jangan pergi ke negara itu (Korea Utara).

“(Bagaimanapun) kalau kita (terus sahaja) ikut nasihat (pihak lain) kita tidak boleh mengelolakan perlawanan.

“Nasihat menteri dengan keputusan kabinet adalah berbeza.

“Kami juga sedang menunggu laporan terperinci daripada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) mengenai situasi sebenar dan juga arahan-arahan yang perlu diberikan kepada kami sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Windsor bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama negara berkenaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan besar venue akan berubah tetapi FAM perlu mengemukakan permintaan rasmi yang disertakan dengan alasan munasabah untuk dipertimbangkan oleh AFC dalam membuat keputusan sama ada perlawanan itu akan diadakan di gelanggang berkecuali atau memilih alternatif lain.

“Benar mereka (FAM) sudah hantar surat sebelum ini dan pihak AFC juga telah hantar surat maklum balas kepada FAM minta mengemukakan perkembangan terkini.

“Adakah terdapat arahan daripada mana-mana pihak (mengenai risiko bermain di sana) ? Kita akan tunggu maklumat lengkap sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kena tunggu FAM, bila mereka mahu hantar surat. Kami mempunyai SOP (prosedur operasi standard) tiga minggu dan kami masih ada seminggu lagi untuk membuat keputusan. Dalam masa seminggu itu kita memerlukan semua laporan terperinci, mengapa mereka boleh bermain atau tidak boleh bermain.

“Jika tiada sebarang laporan terperinci dihantar oleh FAM dalam masa seminggu ini, maka perlawanan akan diteruskan seperti yang telah ditetapkan tetapi kita juga tidak mahu menaikkan ketegangan kerana sekarang ini kedua-dua negara sedang berbincang.

“Kita juga akan membuat keputusan selepas meneliti dari semua aspek,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyuarakan pandangan agar perlawanan kelayakan Piala Asia itu dijalankan di gelanggang berkecuali berikutan keadaan semasa yang dihadapi kedua-dua negara.

SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 25 Februari 2017 12:08 AM

Jumaat, 24 Februari 2017

Malaysia kecundang

ARKIB : 01/07/2000
MALAYSIA tidak berdaya menyaingi kepantasan pemain-pemain Korea Selatan apabila ditumpaskan 7-3 pada pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak Asia Bawah 19 Kumpulan 9 di Stadium Shah Alam semalam walaupun Azralan Azmi sekali lagi mencipta hatrik.

Anak buah Allan Harris hanya sempat memberi tentangan kuat sehingga lima minit pertama selepas rehat apabila Azralan menyumbat gol untuk merapatkan kedudukan kepada 3-2, tetapi jaringan itu menjadi detik permulaan kepada mimpi ngeri buat Malaysia.

Korea sebelum itu menamatkan babak pertama dengan selesa, mendahului 3-1 menerusi jaringan sulung perlawanan oleh Choi Tat-uk hanya 39 saat selepas wisel pertama dibunyikan serta Lee Chun-soo dan Kim Young-sam, masing-masing pada minit pertama dan 26.

Jaringan Azralan pada minit ke-50 selepas terdahulu menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-31, ibarat menjolok sarang tebuan apabila Korea segera bertindak garang untuk kembali selesa di depan.

Hanya tiga minit kemudian, Chun-soo kembali meletakkan tekanan ke atas Malaysia apabila menjaringkan gol pada minit ke-53 untuk menjadikan kedudukan 4-2 sebelum para penyokong tempatan dihidangkan dengan tiga gol lagi dalam tempoh tiga minit.

Chun-soo sekali lagi menghukum kelalaian benteng tuan rumah untuk mencipta hatrik pada minit ke-57 sebelum pemain gantian, Kim Hai-chool menambah dua lagi gol pada minit ke-58 dan 60.

Mendahului 7-2 menjadikan Korea bermain sambil lewa dan pertahanannya melakukan kesilapan pada minit ke-90 dan peluang itu mudah dimanfaatkan oleh Azralan untuk menyepak masuk ke dalam gawang yang terbuka.

Ini adalah hatrik kedua bagi Azralan yang turut menjaringkan tiga gol ketika membantu pasukannya menumpaskan Macau 10-0 pada hari pertama kejohanan minggu lepas.

Malaysia akan bertemu Filipina pada perlawanan terakhirnya pada 4 Julai, sementara Korea pula menentang Macau esok.

Kemenangan itu meletakkan Korea selesa di tangga teratas kedudukan Kumpulan 9 dengan mengumpul mata penuh daripada dua perlawanan sementara Malaysia di tangga kedua dengan empat mata, mengatasi Singapura dengan kelebihan jaringan gol.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Zax8FmRc © Utusan Melayu (M) Bhd

Mazuki selamatkan Malaysia

ARKIB : 29/06/2000
JARINGAN penyamaan melalui tandukan kencang pada minit ke-90 oleh Mohd. Mazuki Yusof menyelamatkan Malaysia daripada keluar padang tanpa mata apabila mencatat seri 1-1 dengan Singapura pada pusingan kelayakan bola sepak Asia bawah 19 Kumpulan 9 di Stadium Shah Alam, semalam.

Mohd. Mazuki menyambar peluang terakhir perlawanan, yang tercipta hasil sepakan sudut, untuk menewaskan penjaga gol lawan, Lewis Lionel yang sebelumnya bertindak cemerlang menghampakan begitu banyak percubaan berbahaya anak-anak buah Allan Harris sepanjang perlawanan kedua untuk kedua-dua pasukan itu.

Terdahulu, Singapura mengejutkan pasukan tuan rumah apabila penyerangnya, Aliff Shafaein Shafie'e yang hanya berdepan dengan penjaga gol Malaysia, Mohd. Syamsuri Mustafa setelah berjaya melepasi perangkap off-side tidak mensia-siakan peluang pada minit ke-10.

Malaysia sepatutnya mengutip mata penuh perlawanan jika dilihat kepada kemampuan pemain-pemain negara mencorak serangan di samping kawalan bola yang kemas berbanding Singapura, yang sebelum ini kalah 12-0 kepada Korea Selatan.

Tetapi hanya nasib tidak menyebelahi mereka walaupun menguasai perlawanan sejak awal dengan percubaan sulung hadir pada minit pertama oleh penjaring hatrik ketika menentang Macau, Azralan Azmi, tetapi percubaannya hanya menyapa tiang.

Azralan sekali lagi hampa setelah tandukan terbangnya pada minit ke-38 mengenai palang.

Rudie Ramli yang turut menyumbat tiga gol ketika Malaysia membelasah Macau 10-0 Isnin lepas turut membuat pertahanan Singapura resah pada minit ketujuh, tetapi sepakan kaki kirinya hanya sedikit tinggi di atas palang gol.

Percubaan pada minit ke-49 oleh Irwan Fadzli Idrus pula menyaksikan Lewis pantas menghalang sepakan penyerang Malaysia itu.

Pemain gantian, K. Rajan turut hampa setelah sepakan lencongnya dari jarak 20 meter pula hanya menggegarkan tiang kanan gol pada minit ke-88.

Para pemain Singapura pula mempersembahkan corak bertahan, berkumpul di kawasan gol sendiri untuk menghalang setiap serangan Malaysia.

''Sukar untuk bermain dengan pasukan yang mengamalkan corak bertahan, tetapi inilah bola sepak,'' kata Harris selepas perlawanan.

''Singapura pasti tidak mahu dibolosi banyak gol selepas kalah besar kepada Korea Selatan dan mereka telah bertahan dengan baik.''

Beliau bagaimanapun tidak berpuas hati dengan gol Aliff Shafaein yang menurutnya off-side, tetapi penjaga garisan tidak selari dengan kedudukan pemain itu.

''Pemain-pemain juga kecewa kerana mereka sepatutnya menang kerana mengawal keseluruhan permainan dan saya berterima kasih kepada mereka kerana telah berusaha keras,'' tambah beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4ZasH4Mti © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 21 Februari 2017

Aksi Malaysia-Korea Utara di Pyongyang bakal ditunda

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
SKUAD negara dijadualkan menentang Korea Utara di Pyongyang pada aksi pembuka tirai Kumpulan B kempen kelayakan akhir Piala Asia 2019.

PERLAWANAN pembuka tirai melibatkan Malaysia menentang Korea Utara pada pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2019 mungkin akan berlangsung di gelanggang berkecuali bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku gara-gara konflik antara kedua-dua negara itu ekoran kes pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di Sepang, Selangor minggu lepas.

Jong-nam merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar kecil) ketika mengesahkan perkara tersebut menjelaskan bahawa perubahan venue akan ditentukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Mengenai pertemuan melibatkan Malaysia menentang Korea Utara pada 28 Mac depan di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang, FAM telah berhubung dengan AFC serta pihak kedutaan Malaysia di Pyongyang bagi mengetahui situasi terkini dan berdasarkan perbincangan saya dengan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul, isu mengenai keselamatan tidak akan menjadi masalah andai perlawanan tersebut kekal diadakan di negara berkenaan.

“Kalau FAM rasa tidak selamat, kami akan terus berhubung dengan AFC dan mereka akan membuat keputusan. Jika keadaan masih berbahaya, perlawanan tersebut akan ditangguhkan atau diubah ke lokasi berkecuali.

“Kemungkinan besar untuk mengadakan perlawanan tersebut di gelanggang berkecuali adalah lebih tinggi,” kata Hamidin ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Menurut Hamidin, pihaknya akan terus memantau keadaan selain menyerahkan segala keputusan muktamad kepada pihak AFC.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaysia yang dalam misi melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2019 dijadualkan menentang Korea Utara pada aksi pembuka tirai Kumpulan B di Pyongyang pada 28 Mac depan.

Bagaimanapun, rantau Asia dikejutkan dengan kes pembunuhan Jong-nam di KLIA2 minggu lepas.

Situasi tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai tahap keselamatan skuad kebangsaan atau bakal berlaku sebarang sekatan di Pyongyang berdasarkan ketegangan melibatkan kedua-dua negara ketika ini.

Selain Korea Utara, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu turut diundi bersama Hong Kong dan Lebanon dalam Kumpulan B.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0221&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ZK2gnGZv Hakcipta terpelihara

Keselamatan Harimau Malaysia perlu diberi keutamaan - Khairy

SKUAD HARIMAU MALAYSIA
SKUAD HARIMAU MALAYSIA
KAMIL MASLIH
21 Februari 2017 2:22 PM
PUTRAJAYA 21 Feb. - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mendapat jaminan keselamatan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk perlawanan Harimau Malaysia menentang Korea Utara dalam kelayakan ketiga Piala Asia 2019 pada 28 Mac ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, faktor keselamatan perlu diberi keutamaan dan sebaik-baiknya perlawanan itu diadakan di venue berke­cuali.

“Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara kini melalui satu fasa yang rumit, saya menasihatkan FAM untuk meminta jaminan dan pandangan dari AFC,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kebimbangan mengenai ke­selamatan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee timbul ekoran kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, siri jelajah Tranformasi Nasional 2050 (TN50) di setiap negeri akan bermula pada 24 Februari ini dengan Sabah menjadi negeri pertama yang dikunjungi jelajah tersebut.

Katanya, jelajah yang mengumpulkan pandangan anak-anak muda itu akan kemudian berada di Terengganu pada 27 Februari, Johor (3 Mac), Perak (8 Mac), Sarawak (11 Mac) dan negeri-negeri lain yang tarikh akan ditentukan kelak.


“Sebanyak tujuh bidang fokus telah dikenal pasti untuk perbincangan dalam Jelajah TN5O iaitu nilai murni, urus tadbir, persekitaran, pendidikan, pekerjaan, gaya hidup dan Malaysia di pentas global,” katanya. - UTUSAN ONLINE 21.2.2017

Sabtu, 18 Februari 2017

Sokongan rakyat pendorong TMJ tanding jawatan presiden

SOKONGAN padu peminat bola sepak tempatan menjadi pendorong Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan diri bertan­ding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut kenyataan laman Facebook Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers, baginda bertitah usaha untuk meningkatkan kembali mutu bola sepak tanah air bukan terletak kepada seorang individu semata-mata tetapi melibatkan kerjasama semua pihak.

“Untuk mengubah dan merombak FAM, inilah peluang kita (rakyat). Inilah peluang kita untuk mengubah buat selama-lamanya dan kembalikan ia menjadi seperti Jepun, Thailand dan negara-negara lain yang berjaya.

“Saya tidak dapat menyelesaikannya sendirian. Ini bukan perancangan individu dan jika saya ingin melakukannya, saya lakukannya bersama rakyat. Ini adalah masa untuk kita mempertingkatkan dan menuju ke hadapan bersama-sama,” titah baginda.

Mengambil contoh pasukan JDT, Tunku Ismail menegaskan kerjasama erat dalam kalangan individu kelab berkenaan menjadi punca mereka dikenali di seluruh dunia.

“JDT adalah bukti yang jelas tetapi anda perlu memahami bahawa JDT adalah sebuah kelab. FAM adalah organisasi besar dengan langkah untuk mempertingkatkannya bukanlah untuk skuad kebangsaan pergi ke Piala Dunia tetapi ia perkara pertama yang perlu dilakukan untuk membersihkan rumah kita dan untuk memperbaiki struktur persatuan,” titah baginda.

Baginda pada masa sama menekankan pentingnya untuk anggota-anggota gabungan FAM bekerja keras membantu kelab mereka sendiri selain mengembalikan kuasa bola sepak kepada rakyat dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negara.

Tunku Ismail turut membuka peluang kepada mana-mana penyokong bola sepak untuk memberikan pandangan mengenai bola sepak sewaktu baginda berada di Kuala Lumpur, minggu depan.

Baginda bakal mewakili ayahanda baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-245 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula 22 Februari di Istana Negara.


Tunku Ismail bakal dicabar bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa untuk jawatan Presiden FAM pada pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021 yang diadakan serentak dengan Kongres Tahunan FAM ke-53 pada 25 Mac nanti. – BernamaSumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4Z1qSSQNf Hakcipta terpelihara

Jumaat, 10 Februari 2017

‘Saya mana layak lawan’

TMJ mahu beli kelab Eropah, belum fikir tanding Presiden FAM
 Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
11 Februari 2017 12:10 AM
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Tunku Ismail Sultan Ib­rahim memberi jawapan sinis ketika ditanya mengenai persaingan merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, beliau percaya, pertandingan yang akan berlangsung pada 25 Mac itu akan dimenangi oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atau proksi­nya.

Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, ketika ini beliau tidak terfikir untuk menerima pencalonan Presiden FAM kerana sedang bekerja keras untuk membeli sebuah kelab bola sepak di luar negara.


Dalam satu temu bual yang di­siarkan menerusi Facebook JOHOR Southern Tigers, Tunku Ismail berpendapat Khairy atau proksi menteri boleh memenangi jawatan tersebut.

“Saya mana ada peluang nak lawan orang politik. Saya datang dari negeri kecil dan jaga kelab kecil.

“Buat masa ini tidak terfikir (me­nerima pencalonan) lagi kerana saya bekerja keras untuk beli sebuah kelab luar negara, kemungkinan di Ero­pah,” me­nurut Tunku Ismail dengan seorang wartawan.

Tunku Ismail antara empat nama yang dicalonkan untuk jawatan itu.

Tiga calon lain adalah Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat serta Khairy.

Bagaimanapun, setakat hari ini hanya Annuar mengesahkan untuk bertanding jawatan tersebut apabila secara rasmi menghantar borang pengesahan pencalonan.

Semua calon perlu mengesahkan pencalonan mereka selewat-lewatnya Isnin depan.

Senarai akhir calon yang akan bertanding kemudian diumumkan dalam Mesyuarat Exco FAM, 20 Februari ini.

Tunku Ismail sebelum ini pernah ber­tanding kerusi No. 1 FAM itu dalam pemilihan tiga tahun lalu.

Beliau bagaimanapun tewas kepada Teng­ku Abdullah Sultan Ahmad Shah

Tengku Abdullah bagaima­napun mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan dalam pemilihan kali ini bagi memberi laluan kepada muka baharu bagi memberi idea yang lebih segar buat bola sepak tempatan.

Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 11.2.2017

TMJ hangatkan teka-teki pencalonan Presiden FAM

 Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
 TUNKU Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus merancakkan teka-teki berhubung perebutan untuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Semalam baginda seolah-olah memberikan bayangan tidak akan bertanding jawatan tersebut dalam Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac depan.

Tunku Ismail merupakan salah seorang daripada empat tokoh yang menerima pencalonan daripada ahli gabungan FAM untuk bertanding jawatan tersebut.

Tiga lagi tokoh lain ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Daripada empat tokoh tersebut, Tunku Ismail dilihat paling layak mengisi jawatan tersebut bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tengku Abdullah mengambil keputusan melepaskan ‘kerusi panas’ badan induk bola sepak negara itu yang dipegang baginda sejak 2014.

Potensi untuk menyaksikan Tunku Ismail menjadi presiden baharu FAM semakin cerah apabila ayahanda baginda, Sultan Ibrahim telah berkenan memberikan ‘lampu hijau’ kepada TMJ untuk bertanding pada pertemuan dengan beberapa ahli gabungan FAM di Istana Pasir Pelangi Johor Bahru minggu lalu.

Bagaimanapun, Tunku Ismail ketika diwawancara menerusi laman sosial Facebook Johor Southern Tigers (JST) semalam tampil dengan nada berbeza apabila menyatakan bahawa baginda belum berfikir untuk terlibat dalam Kongres FAM ke-53 itu nanti.

Titah Tunku Ismail, baginda meramalkan Khairy atau ‘proksi’ menteri itu adalah antara calon yang memiliki peluang untuk menjadi presiden baharu FAM.

Dalam wawancara tersebut, wartawan JST bertanya: “Siapa yang Tunku rasa akan menang pemilihan FAM nanti? Khairy Jamaluddin atau ‘proksi’ menteri? TMJ menjawab bahawa baginda tidak ada peluang nak melawan orang politik, lagipun datang dari negeri kecil dan jaga kelab kecil.

Wartawan tersebut turut bertanya sama ada TMJ akan terima pencalonan tersebut dan baginda secara terbuka bertitah bahawa buat masa ini tidak terfikir apa-apa lagi kerana sedang sibuk bekerja untuk membeli sebuah kelab bola sepak luar negara, kemungkinan di Eropah kalau ada rezeki selain sibuk menjalankan tugas di Johor.

“Saya ini orang angkuh, mana layak. Yang layak hanya orang-orang politik, menteri yang jujur, bijak tentang bola sepak dan berintegriti,” titah baginda dalam wawancara tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan beberapa pemerhati bola sepak optimis Tunku Ismail akan tampil menerajui FAM, namun baginda masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima pencalonan tersebut.

Semua individu yang telah menerima pencalonan untuk merebut jawatan yang dipertandingkan pada kongres itu nanti mempunyai masa sehingga 20 Februari ini untuk mengesahkannya.

Setakat ini, Annuar muncul individu pertama menyerahkan pengesahannya untuk bertanding jawatan Presiden FAM manakala Khairy mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’.

Semalam, Annuar turut mengesahkan bahawa beliau akan tetap bertanding tanpa mengira siapa yang bakal menjadi lawan pada pemilihan itu nanti.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4YK4BNzFH Hakcipta terpelihara

Khamis, 9 Februari 2017

Sokong TMJ sebagai Presiden FAM

6 FEBRUARI 2017
 Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim Tunku Ismail
PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (MUSA) menyokong penuh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata MUSA akan terus menjadi penyokong utama hasrat Tunku Ismail dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak tanah air.

"Saya sendiri menjadi yang terawal mencetuskan idea dan mencadangkan kepada Tunku Ismail untuk mengisi kekosongan kerusi Presiden FAM.

"Secara peribadi saya amat berbesar hati apabila cadangan saya disambut baik apabila baginda mengumumkan berkenan untuk bertanding pada kongres pemilihan persatuan itu pada Mac akan datang," katanya dalam catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Selain Tunku Ismail, tiga nama lain yang dicalon untuk jawatan Presiden FAM itu ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Aseh Che Mat.

Kongres FAM akan diadakan pada 25 Mac dan senarai akhir calon akan dibentangkan kepada Exco FAM pada 20 Feb bagi menentukan calon yang layak bertanding pada kongres bagi memilih barisan kepimpinan untuk penggal 2017-2021. – Bernama

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 6 FEBRUARI 2017

Buatlah keputusan tepat: Khalid

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 FEBRUARI 2017
 Mohd Yusoff, TMJ
Mohd Yusoff, TMJ Khalid menganggap Mohd Yusoff (kiri) dan TMJ calon paling layak menerajui pucuk pimpinan tertinggi FAM.
AHLI gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran membuat keputusan bijak dan menolak nilai 'sentimental' sesetengah calon yang bertanding bagi merebut pucuk pimpinan tertinggi badan induk itu.

Pengkritik bola sepak negara, Khalid Ali berkata, selain jawatan presiden, individu yang dipilih mengisi jawatan timbalan presiden juga perlu terdiri daripada muka baharu.

Pada masa sama, Khalid menyarankan timbalan presiden sedia ada, Datuk Seri Affandi Hamzah supaya bersikap 'gentleman' dengan menarik diri walaupun dicalonkan sekali lagi dalam kongres kali ke-53 persatuan itu, Mac ini.


Minggu lalu, Affandi dilapor sedia mempertimbangkan untuk mempertahankan jawatannya atau tidak dan berjanji akan memaklumkan pendiriannya dalam masa terdekat.

Dilaporkan sebelum ini calon bagi jawatan tersebut bakal menerima borang pengesahan pencalonan daripada Sekretariat FAM dan mereka perlu membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak sebelum 13 Februari depan.

Senarai akhir calon akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco FAM terlebih dahulu selepas diumumkan pada 20 Februari ini.

Calon-calon lain yang tersenarai untuk jawatan itu ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin; Naib Presiden FAM, Datuk Rozabil Abdul Rahman; bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak melaka United (Musa), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

“Jawatan Timbalan Presiden FAM merupakan orang penting dan tulang belakang yang akan bantu presiden menggerakkan skuad kebangsaan ke peringkat tertinggi.

"Saya lihat hanya Mohd Yusoff ada kredibiliti dan Hamidin pula kita tidak boleh tolak tepi. Saya fikir dua individu ini memang sesuai mengisi jawatan timbalan presiden.

"Bagi jawatan presiden pula, saya tidak nampak orang lain selain TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Saya sudah katakan perkara ini berulang kali dan saya percaya TMJ dan Mohd Yusoff mampu membentuk gandingan mantap.

"Saya fikir mereka tidak ada masalah untuk bekerjasama. Itulah yang saya katakan, orang lama perlu berundur takut nanti, presiden orang baru tapi timbalan orang lama.

"Risau nanti FAM tetap sama, tiada perubahan timbul pula konflik lain," katanya.

Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 8 FEBRUARI 2017

Selasa, 7 Februari 2017

Tunku Ismail dapat restu Sultan Ibrahim

 
SULTAN IBRAHIM (duduk empat dari kiri) bersama Tunku Ismail (duduk dua dari kanan) mengadakan pertemuan tertutup dengan wakil 14 ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri di Kelab Polo, Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru semalam.

PEMILIK kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendapat restu ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk bertanding merebut ‘kerusi panas’ jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan Kongres FAM ke-53 pada

25 Mac depan.

Perkara itu didedahkan pada sidang akhbar oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi yang mewakili 14 ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Negeri sejurus selesai mengadakan pertemuan tertutup dengan Sultan Ibrahim di Kelab Polo, Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru semalam.

“Baginda menetapkan syarat untuk perkenannya itu yang mana pihak kami tidak boleh meletakkan tempoh, sebaliknya memberikan masa untuk Tunku Ismail membina semula organisasi tersebut jika pencalonan Presiden FAM menjadi milik Tunku Ismail,” kata Mohd. Yusoff.

Pertemuan selama sejam bersama Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail itu turut dihadiri delegasi daripada 14 ahli gabungan FAM, antaranya dari Selangor, Kedah, Sabah dan Terengganu.

Selain Tunku Ismail, tiga nama turut bersaing merebut kerusi ‘panas’ sebagai Presiden FAM baharu ialah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 41; bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, 61, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat, 66

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4Y0DIhXax Hakcipta terpelihara

Isnin, 6 Februari 2017

Kim Swee 'berguru' sebulan bersama QPR

3 FEBRUARI 2017
Kim Swee 'berguru' sebulan bersama QPR Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee pada sidang media AirAsia taja Datuk Ong Kim Swee dan Brad Maloney berguru sebulan di QPR di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini. - Foto Bernama
KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee diberi peluang untuk 'berguru' selama sebulan di London bagi mengikuti program bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queen Park Rangers (QPR).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemergian Kim Swee bersama penolong jurulatih kebangsaan, Brad Maloney dari 7 Februari hingga 8 Mac ini dilihat mampu memberi manfaat dan faedah sepenuhnya kepada beliau dan juga pasukan kebangsaan.

Hamidin menjelaskan program tersebut ditaja sepenuhnya oleh AirAsia menerusi inisiatif Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, yang juga pemilik kelab berkenaan.

"Kim Swee dan Brad akan diberi peluang untuk melihat sendiri sesi latihan pasukan utama QPR di Harlington, yang merupakan pusat latihan QPR di bawah kendalian Ian Holloway bersama barisan kejurulatihannya.

"Dari situ, Kim Swee dan Brad akan diberi kesempatan untuk berbincang dan mempelajarai sesuatu yang baharu mengenai kaedah latihan, taktikal dan persiapan menjelang perlawanan," katanya pada sidang media bulanan skuad kebangsaan di Wisma FAM, hari ini.

Sementara itu, Kim Swee mengakui peluang keemasan itu akan memberikan impak positif kepada kemahiran kejurulatihan beliau dan Brad yang akan digunakan sebaik mungkin dalam meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

"Peluang untuk melihat sendiri skuad utama QPR menjalani latihan serta mengikuti perkembangan pasukan akademi mereka ini pasti memberikan satu pengalaman dan pendedahan yang amat berguna kepada kami.

"Selain dapat meningkatkan mutu kemahiran kejurulatihan kami, segala ilmu dan kaedah latihan yang dipelajari semasa di sana akan saya gunakan bersama skuad kebangsaan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata program itu adalah permulaan kepada jalinan kerjasama antara FAM dan QPR yang turut akan melibatkan penghantaran jurulatih dan pemain ke kelab berkenaan serta kehadiran pakar dari QPR ke negara ini.

"Kerjasama jangka panjang ini adalah salah satu sumbangan kami dalam membantu memartabatkan semula bola sepak Malaysia," katanya. - Bernama


Sumber-SINAR HARIAN ONLINE 3 FEBRUARI 2017

Sabtu, 4 Februari 2017

Insa 'buka mata' OKS

INSA (gambar kecil) kini bersama skuad Tok Gajah.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my 
Petaling Jaya: Pemain kacukan Francisco Javier Insa Bohigues yang menyarung jersi skuad Liga Super Pahang mendapat perhatian jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee kerana beranggapan pemain itu mampu memperkuatkan pasukan khususnya di bahagian pertahanan.

Dia yang turut dikenali sebagai Kiko Insa, 29, pada mulanya didaftarkan pemain import skuad Tok Gajah musim ini namun kemudian diiktiraf pemain tempatan apabila memiliki kad pengenalan Malaysia dua minggu lalu.


Kiko Insa yang dilahirkan di Alicante, Sepanyol tetapi neneknya berasal dari Kuala Lumpur, sudah diturunkan jurulatih Dollah Salleh ketika Pahang seri 1-1 dengan Perak dan membelasah T-Team 5-0 dalam aksi Liga Super.

Ternyata aksi awal pemain tengah itu yang turut boleh beraksi di bahagian pertahanan memikat Kim Swee yang kini sedang mencari pemain dalam persiapan mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2017 bermula Mac depan.

“Bergantung kepada status, saya kena teliti dari segi sama ada dia mempunyai pasport Malaysia. Sudah pasti dia pemain yang bagus cuma kita kena melalui beberapa proses terlebih dulu, jika peraturan membenarkan, saya memang berminat untuk mendapatkan khidmatnya. Tapi saya tak boleh terus kata boleh, takut nanti AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) tak benarkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media bulanan skuad Harimau Malaysia semalam.

Kiko Insa yang pernah beraksi dengan kelab divisyen tiga Sepanyol CD Alcoyano dan kelab Belgium UR Namur juga boleh berbahasa Indonesia kerana pernah mewakili Arema FC dan Bali United.

Kim Swee mengakui kehadiran pemain ini boleh membantu, apatah lagi beliau berdepan masalah di bahagian pertahanan tengah ketika mengharungi kempen Piala AFF tahun lalu.

“Ya (ada menyaksikan dia bermain). Kita tahu ada masalah di bahagian pertahanan, dengan adanya dia, saya harap ia akan membantu. Tapi kita perlu sahkan sama ada dia boleh bermain terlebih dulu,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:28 AM

Jumaat, 3 Februari 2017

Piala Asia: Sukar tapi tak mustahil

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
28 JANUARI 2017
WALAUPUN tampak sukar, namun Ketua Jabatan Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), B Sathianathan percaya skuad Harimau Malaysia mampu mencipta keputusan positif pada saingan kelayakan Piala Asia 2019.

Isnin lalu, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Utara, Lubnan dan Hong Kong.

Bagi Sathianathan, walaupun di atas kertas Malaysia berdepan tugas berat untuk layak ke Piala Asia, namun segala kemungkinan boleh berlaku sekiranya pemain negara mampu mencipta kejutan menumpaskan Lubnan dan Hong Kong.

“Dalam kumpulan ini semua pasukan amat kuat dengan ranking dan prestasi lebih baik daripada skuad negara.

“Namun, ia akan jadi tak mustahil untuk dilaksanakan sekiranya pemain dapat cipta kejutan menumpaskan Lebanon dan Hong Kong untuk berada di kedudukan kedua di belakang Korea Utara.

“Kalau kita mencari jalan senang, memang sudah tiada. Itu satu-satunya peluang yang kita ada (menumpaskan Lubnan dan Hong Kong) “ katanya.

Persediaan awal

Berdasarkan ranking, skuad negara yang berada di kedudukan ke-161 jauh ditinggalkan di belakang berbanding ketiga-tiga negara itu dengan Lubnan (148), Hong Kong (140) dan Korea Utara (125).

Perlawanan peringkat kumpulan akan dilangsungkan dari 28 Mac 2017 hingga 27 Mac 2018 dengan dua pasukan terbaik daripada setiap enam kumpulan akan mara ke pusingan akhir.

Mengulas lanjut, kata Sathianatahan, Kim Swee perlu membuat persediaan dari awal mencari pemain yang kini berada dalam prestasi terbaik.

Tegasnya lagi, persefahaman antara pemain merupakan fokus utama yang perlu dibentuk Kim Swee dalam baki tempoh dua bulan ini.

“Dari sekarang, Datuk Ong Kim Swee perlu terus turun padang cari pemain yang betul-betul menyerlah dalam liga.

“Jangan tunggu sebulan sebelum ataupun beberapa minggu untuk buat pemilihan dan melatih mereka,” katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 28 JANUARI 2017