MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI | 19
November 2015 12:09 AM
ONG KIM SWEE bersalaman dengan
pemain-pemainnya selepas perlawanan menentang UAE dalam kempen kelayakan Piala
Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam kelmarin. utusan/Farid Janudin
KUALA LUMPUR – Harimau Malaya
menafikan tanggapan pihak yang menjangkakan satu lagi kekalahan besar apabila
mereka sekadar tewas tipis 2-1 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam
perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam yang
tanpa penonton kelmarin.
Walaupun tetap satu kekalahan
namun anak buah Datuk Ong Kim Swee berjaya bangkit daripada kekalahan besar 6-0
kepada Palestin dalam tempoh kurang lima hari dan yang paling penting mereka
berjaya menyekat hajat UAE untuk mengulangi kemenangan besar 10-0 yang dilakar
sebelum ini di Abu Dhabi.
Malah, pihak lawan mereka
kelmarin turut memuji persembahan Harimau Malaya yang dianggapnya telah menjadi
sebuah pasukan berbeza berbanding yang mereka jinakkan dengan mudah sebelum
ini.
Jurulatih sementara Harimau
Malaya, Kim Swee mengakui UAE merupakan pasukan yang cukup kuat dan dibuktikan
dengan kedudukan ke-67 dunia, dan skuadnya memerlukan strategi yang baik untuk
cuba mempertahankan gawang skuadnya daripada dibolosi banyak gol.
Katanya, anak didiknya telah
menunjukkan persefahaman yang sangat baik dalam mempertahankan gawang daripada
dibolosi oleh pasukan pelawat yang mempunyai jentera serangan yang sangat baik.
“Saya tak cakap 100 peratus
strategi kita berhasil tetapi kita menunjukkan kemampuan jika kita betul-betul
berdisiplin ketika bertahan, jadi ini satu tugasan yang cukup mencabar setelah
apa yang berlaku dan bermain dengan pasukan yang cukup baik dari segi serangan
dan tewas dengan dua gol.
“Perkara mustahak sekarang
pemain menunjukkan persefahaman semasa bertahan sebagai satu unit yang lebih
berkesan hari ini (kelmarin). Kita tahu UAE merupakan pasukan yang cukup kuat
dan sudah tentu kita cuba mempertahankan gawang kita dengan lebih baik,”
katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin.
Jaringan menarik Omar
Abdulrahman pada minit ke-21 dan Ahmed Khalil pada minit ke-52 membantu pasukan
negara Arab itu membawa pulang tiga mata berharga, manakala jaringan tunggal
Harimau Malaya oleh Baddrol Bakhtiar yang menanduk bola sepakan bebas ketua
pasukan Safiq Rahim pada minit ke-58.
Kim Swee, yang mengakui berasa
janggal bermain di stadium kosong, berkata pemain perlu menunjukkan prestasi
yang konsisten dalam setiap perlawanan, terutamanya apabila bermain menentang
pasukan yang lebih kuat di tempat lawan.
“Keputusan-keputusan sebelum
ini menyukarkan pemain untuk bermain dengan tekanan-tekanan daripada banyak
pihak dan yang penting di sini kita perlu membina daripada apa yang kita telah
lakukan untuk terus ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, pengendali UAE,
Mahdi Ali memuji anak buahnya yang berjaya mencapai matlamat untuk meraih tiga
mata meskipun terpaksa bergelut untuk melepasi tentangan Malaysia.
“Malaysia bermain dengan baik,
walaupun ketinggalan mereka bangkit untuk terus memberikan persaingan
sehinggakan berjaya menghasilkan satu gol tetapi apa yang penting misi kami ke
sini untuk meraih kemenangan tercapai,” katanya.
Jurulatih itu turut merungut
mengenai pegawai perlawanan, yang disangkanya dari Malaysia.
“Saya tidak faham bagaimana
dalam pertemuan menentang skuad negara pegawai perlawanan boleh dipilih
daripada negara tersebut...ianya tidak pernah lagi berlaku dalam mana-mana
perlawanan sebelum ini. Itu menjadi tanda tanya saya,” katanya dalam nada tidak
berpuas hati.
Bagaimanapun dakwaan Mahdi Ali
itu salah kerana pegawai yang dimaksudkannya adalah dari China.
Malaysia kini menduduki tempat
keempat dalam Kumpulan A selepas mengutip empat mata dari tujuh perlawanan,
manakala pasukan Arab Saudi yang membenam Timor Leste 10-0 kelmarin terus
menerajui kumpulan dengan 16 mata diikuti oleh UAE (13 mata) dan Palestin (9
mata) manakala Timor Leste menduduki tangga tercorot dengan dua mata.
Malaysia akan menamatkan kempen
kelayakan ini dengan berkunjung ke Arab Saudi pada 24 Mac depan. Pertemuan
pertama mereka sebelum ini dicemari oleh kekecohan penonton di Stadium Shah
Alam pada 8 September lalu, di mana Arab Saudi diberikan kemenangan 3-0 oleh
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Malaysia juga dikenakan hukuman
bermain satu perlawanan di tempat sendiri tanpa penyokong.
Peluang Malaysia untuk meneruskan
kemaraan dalam kelayakan Piala Dunia sudah tertutup terus namun masih mempunyai
harapan untuk bermain dalam playoff Piala Asia.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/uae-anggap-harimau-8232-tunjuk-peningkatan-1.159847#sthash.oRF8ybC0.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan