KIM SWEE (kanan) memberi taklimat kepada barisan pemainnya ketika sesi latihan di Kompleks Sukan Amman pagi semalam.
HARIMAU Malaya tidak perlu bimbang apabila berdepan Palestin pada aksi keenam peringkat Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, Khamis ini.
Atas kertas, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu sudah memiliki kelebihan kerana mereka berpeluang mengintip rentak permainan pasukan lawan mereka itu yang turun menentang Arab Saudi di venue yang sama semalam.
Sekurang-kurangnya, peluang tersebut memberi kesempatan kepada Kim Swee untuk menilai kekuatan serta kelemahan Palestin yang menewaskan Harimau Malaya 6-0 pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 Jun lalu.
Selain itu, skuad negara juga memiliki tempoh rehat yang mencukupi selepas tiba di Jordan pada Sabtu lalu.
Palestin pula pastinya kepenatan selepas aksi menentang Arab Saudi semalam.
Begitupun, Kim Swee tidak menganggap kesempatan untuk menyaksikan perlawanan antara Palestin dengan Arab Saudi semalam memberi kelebihan kepada skuad Harimau Malaya, namun sekurang-kurangnya beliau mendapat input berguna bagi merencanakan strategi menghadapi perlawanan penting itu Khamis ini.
“Saya perlu menilai corak permainan mereka (Palestin) dari semua sudut bagi membolehkan kita membuat persediaan sewajarnya.
“Sudah pasti Palestin menurunkan kesebelasan yang terbaik ketika menentang Arab Saudi dan ini memberikan kita peluang untuk melihat secara langsung corak permainan mereka,” jelas Kim Swee semalam.
Namun, apa yang lebih penting buat Kim Swee ketika ini ialah kesediaan serta fokus para pemain mengharungi perlawanan itu nanti serta kemampuan mereka mengaplikasikan strategi yang bakal digunakan.
Selain itu, proses menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di bumi Jordan juga sangat penting kerana ia mampu membantu para pemain tampil dengan aksi yang lebih meyakinkan.
Menyedari masalah tersebut, Kim Swee membuat keputusan untuk berangkat ke Jordan lebih awal kerana beliau tidak mahu anak-anak didiknya berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran.
Malah Kim Swee mengakui, segelintir pemain dilihat masih berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca, namun beliau jangkakan masalah tersebut akan dapat diatasi segera.
Aksi menentang Palestin terpaksa ditukar ke gelanggang berkecuali selepas Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) meluluskan rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran tiada jaminan daripada pihak kerajaan Palestin berhubung isu keselamatan jika perlawanan tersebut kekal diadakan di Hebron.
FIFA memilih Jordan sebagai gelanggang berkecuali untuk perlawanan tersebut termasuk aksi antara Palestin dengan Arab Saudi semalam.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3r3QdhDqt Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan