Jumaat, 13 November 2015

Harimau Malaya malu besar

AHMAD FAZLI MOHD. YADI
sukan@Kosmo.com.my
  
PEMAIN Harimau Malaya terpaksa akur dengan kehebatan Palestin apabila tewas 0-6 pada kempen Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan malam tadi.

PELUANG Harimau Malaya untuk merebut tempat ketiga terbaik dalam saingan Kumpulan A kempen Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 kian sukar selepas tewas 0-6 kepada Palestin di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan malam tadi.

Palestin yang sebelum ini mengecewakan skuad negara dengan jaringan sama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu sebaliknya mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga dengan sembilan mata.

Malaysia di tangga keempat dan sekadar mengutip empat mata hasil enam perlawanan serta bolos 26 gol.

Kini, peluang pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee hanya memburu slot pasukan keempat terbaik daripada lapan kumpulan yang sebelum ini mahu mendapatkan slot pusingan akhir kelayakan kedua-dua piala tersebut.

Dalam aksi pada cuaca sejuk 12 darjah Celsius itu, Palestin mendahului perlawanan menerusi jaringan Jonathan Zorrilla pada minit ke-35.

Berselang seminit kemudian, giliran Ahmed Abunahia menggandakan kedudukan buat pasukan bimbingan Abdalnasser Barakat apabila penyerang Palestin itu berjaya mengambil kesempatan hantaran Mathiew Davies kepada Razman Roslan sebelum menewaskan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Abunahia sekali lagi menggegarkan gawang skuad negara dengan meledak gol ketiga Palestin pada minit ke-45, sekali gus keputusan 3-0 kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad negara kembali mengatur rentak dan percubaan terbaik hadir menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor tetapi berjaya didakap kemas oleh penjaga gol Palestin, Tawfiq Abuhammad pada minit ke-56.

Bagaimanapun, Abunahia sekali lagi menghukum kerapuhan benteng pertahanan negara dengan melengkapkan hatrik apabila penyerang itu yang tidak dikawal ketat dalam kawasan kotak penalti mudah menolak bola ke dalam gawang Harimau Malaya pada minit ke-59.

Tamer Sayet menjadikan kemenangan bergaya Palestin dengan meledak gol kelima tuan rumah (m-88) sebelum Jaka Hbaisha melengkapkan pesta gol Palestin pada masa kecederaan.

Harimau Malaya bakal menanti kunjungan Emiriyah Arab Bersatu di Stadium Shah Alam pada 17 November ini.

Sumbe-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1113&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3rN94ASfO Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan