Jumaat, 6 November 2015

‘Kim Swee semakin pening’


Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
KIM SWEE berdepan cabaran penambahan pemain yang cedera menjelang pertemuan dengan Palestin minggu depan.

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee tanpa berselindung memberitahu bahawa beliau berdepan situasi sukar menjelang perlawanan menentang Palestin pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, 12 November ini.

Masakan tidak, Kim Swee mendedahkan beliau terpaksa merombak barisan pemain pada saat-saat akhir selepas Baddrol Bakhtiar, Mohd. Hafiz Kamal dan Gary Steven Robbat disahkan tidak dapat menyertai pasukan kali ini ekoran urusan peribadi dan masalah kecederaan.

Terbaharu, pengendali kelahiran Melaka itu terpaksa menyisihkan pemain Pahang, Mohd. Azammuddin Akil dan pemain pertahanan kiri Terengganu, Mohd. Zubir Azmi.

Ini kerana Azammuddin minta pengecualian selepas menerima cahaya mata semalam, manakala Zubir masih lagi dihimpit masalah kecederaan buku lali.

Situasi itu sekali gus memaksa Kim Swee memanggil pemain sayap Harimau Muda B kelahiran Kelantan, Syahrul Azwari Ibrahim bagi menggantikan tempat Azammuddin, sementara Fazly Mazlan dari Johor Darul Takzim (Johor DT) buat posisi Zubir.

Sementara itu, penyerang Kelantan, Ahmad Fakri Saarani yang berada dalam senarai menunggu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Baddrol, Ronny Harun (Sarawak) menggantikan Hafiz, pemain baharu Redzuan Suhaidi (Pulau Pinang) akan menggantikan tempat Gary.

Begitupun, Kim Swee yang membawa 23 pemain ke Jordan, tetap yakin dengan perancangan pasukan untuk bertemu Palestin yang masih lagi diputuskan venue selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bertindak mengarahkan Palestin mengubah lokasi ekoran tiada jaminan keselamatan kelmarin.

“Pemain Johor DT akan beraksi menentang Perak malam ini (malam tadi). Jadi, saya sangat harap tiada lagi pemain yang mengalami kecederaan saat akhir.

“Ini kerana sudah pasti pemain akan keletihan kerana baharu mengharungi perlawanan Piala Malaysia tetapi kita akan bergerak awal ke Jordan untuk membuat persiapan di sana.

“Di sana pemain boleh fokus kepada proses pemulihan kecergasan dan latihan sebelum menentang Palestin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee tetap memandang positif di sebalik menyaksikan kedudukan skuad negara kekal di tangga ke-171 dalam ranking FIFA meskipun beliau berjaya meraih dua kemenangan iaitu ke atas Laos 3-1 (perlawanan persahabatan) dan Timor Leste 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Berdasarkan ranking terbaru yang dikeluarkan itu Malaysia hanya meraih 16 mata untuk menjadikan 127 mata keseluruhan.

“Apa yang penting kita menang dua perlawanan walaupun masih kekal di tangga 171. Kalau kita seri atau kalah pasti kedudukan ranking kita bertambah buruk.

“Kita masih ada dua lagi perlawanan tahun ini (menentang Palestin dan Emiriyah Arab Bersatu), walaupun ia lawan sukar tapi kita perlu cuba untuk meraih sebarang mata,” ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1106&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3qhwjBkw7 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan