Khamis, 12 November 2015

SIDANG MEDIA PALESTIN VS MALAYSIA

Berikut butiran sidang media praperlawanan yang berlangsung di Hotel Landmark, Amman, Jordan, hari ini.

 Ia menjelang perlawanan keenam Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, Palestin lawan Malaysia di Stadium Antarabangsa Amman pada Khamis, 12 November 2015, sepak mula 4 petang (10 malam waktu Malaysia).

 Hadir pada sidang media berkenaan ialah ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan penjaga gol skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat serta ketua jurulatih Palestin, Abdalnasser Barakat dan ketua pasukannya, Abdallatif Al Bahdari.

 Pada pertembungan pertama kedua-dua pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 Jun lalu, Malaysia tewas 6-0 kepada Palestin.

 Kedudukan Kumpulan A selepas lima perlawanan, Arab Saudi di tangga teratas dengan 13 mata diikuti UAE (7), Palestin (6), Malaysia (4) dan Timor Leste (2). Hanya UAE baru beraksi empat perlawanan.

 Satu lagi perlawanan yang berlangsung esok, UAE menanti kunjungan Timor Leste di Abu Dhabi.


KOMEN KETUA JURULATIH SEMENTARA MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Kami tiba di Amman, Sabtu lalu dan nampak para pemain sudah dapat menyesuaikan keadaan di sini sepanjang lima hari ini untuk persiapan perlawanan esok.

 "Memang kami tewas 6-0 kepada Palestin sebelum ini tetapi setiap perlawanan takkan sama. Sudah tentu kami tak mahu tewas lagi, lebih-lebih lagi dengan jaringan besar kerana ia sesuatu yang menyedihkan.

 "Kami memandang ke hadapan untuk perlawanan esok. Tapi bukan mudah kerana pasukan Palestin cukup baik jika dilihat mereka mampu mengikat UAE dan terbaharu seri 0-0 dengan Arab Saudi, Isnin lalu.

 "Persiapan terakhir pada sesi latihan petang ini, tidak banyak berbeza. Saya percaya semua pemain sudah bersedia.

 "Apa yang penting, kami perlu kekal fokus dan pemain perlu benar-benar berdisiplin. Jika ia dapat dilakukan, kami pasti boleh mencapai keputusan yang diinginkan."

Sumber-FAM online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan