Palestin ulangi kejayaan
belasah Malaysia 6-0
SUFIAN HADI SOJAK | 13
November 2015 1:38 AM
PENJAGA gol Malaysia, Khairul
Fahmi Che Mat dipaksa berhempas pulas untuk menyelamatkan percubaan Palestin
dalam perlawanan di Amman, Jordan, semalam. Malaysia dibelasah 6-0.
KUALA LUMPUR - Misi kebangkitan
yang dibawa Harimau Malaya di Amman, Jordan bagaimanapun bertukar mimpi ngeri
apabila dimalukan lagi 6-0 oleh Palestin dalam kempen kelayakan Piala Dunia
2018/Piala Asia 2019, semalam.
Kekalahan terbaharu ini
mengulangi insiden malang pada 16 Jun lalu, apabila pasukan negara dibelasah
oleh lawan yang sama juga 6-0 dalam perlawanan pertama di Stadium Nasional,
Bukit Jalil.
Malah, ini kekalahan besar
ketiga dialami oleh skuad Harimau Malaya dalam Kumpulan A selepas sebelum ini
turut dibenam 10-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 3 September, kekalahan
yang membawa kepada peletakan jawatan jurulatih, Dollah Salleh.
Biarpun beraksi dalam
persekitaran ‘selamat’ selepas permohonan untuk bermain di stadium berkecuali
diluluskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), namun itu tetap tidak
memberi sebarang kelebihan buat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.
“Semenangnya kami tak jangkakan
dimalukan sekali lagi selepas apa yang berlaku sebelum ini (di Bukit Jalil, 16
Jun lalu). Ini merupakan keputusan yang buruk.
“Seperti yang saya katakan awal
tadi, Palestin bermain dengan sangat baik dan kita cuba untuk merapatkan
kedudukan, namun ia semakin sukar untuk dilakukan.
“Jadi, apa yang penting
sekarang, kami perlu melihat aksi seterusnya menentang UAE (17 November ini).
“Apa yang terjadi, kita
perlukan perubahan. Kami harus bangkit menentang UAE walaupun saya tahu ia
agak sukar,” kata Kim Swee.
Seawal wisel sepak mula
dibunyikan, pertahanan Harimau Malaya terpaksa bekerja keras bagi mengekang
serangan bertali arus daripada pihak lawan, sebelum Palestin menewaskan Khairul
Fahmi Che Mat dalam tempoh lapan minit untuk mendahului 3-0 pada separuh masa
pertama.
Ketiga-tiga gol tersebut hadir
ekoran kesilapan dan kurang persefahaman pertahanan skuad kebangsaan sehingga
membenarkan Jonathan Zorrilla membuka jaringan pada minit ke-37.
Kesilapan pertahanan, Razman
Roslan mengundang kepada gol kedua yang dijaringkan oleh Ahmed Abunahia seminit
kemudian, sebelum dia menambah gol ketiga pada minit ke-45.
Tempoh 10 minit di bilik
persalinan pastinya dimanfaatkan oleh Kim Swee untuk memperbaiki keadaan, namun
segalanya tidak menjadi apabila Palestin hanya memerlukan masa 13 minit selepas
waktu rehat bersambung untuk Ahmed Abunahia melengkapkan hatrik.
Ketika permainan berbaki dua
minit, Palestin yang diberi jolokan The Redeemers sempat mengulangi pencapaian
di Bukit Jalil pada 16 Jun lalu dengan ledakan dua gol menerusi Tamer Seyam
(minit ke-88) dan Jaka Hbaisha pada waktu kecederaan.
Kekalahan ini menipiskan
peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen Kumpulan A di
tangga ketiga, biarpun secara matemematik peluang belum tertutup rapat kerana
masih ada dua baki perlawanan yang perlu diharungi.
Malaysia kekal di tangga
keempat dengan lima mata di belakang Palestin selepas mengutip empat mata
daripada enam perlawanan.
Arab Saudi unggul di kedudukan
pendahulu menerusi 13 mata, diikuti UAE dengan 10 mata selepas menewaskan
pasukan tercorot, Timor Leste 8-0 dalam satu lagi saingan semalam.
Dua pasukan teratas Kumpulan A
layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018.
Bagi beraksi dalam playoff
kelayakan Piala Asia 2019, Malaysia perlu menempatkan diri dalam
sekurang-kurangnya kedudukan empat terbaik.
Pasukan negara akan menerima
kunjungan UAE dalam perlawanan di stadium kosong pada 17 November ini.
Harimau Malaya kemudian akan
melengkapkan saingan Kumpulan A dengan berdepan Arab Saudi di tempat lawan pada
24 Mac, 2015.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaya-8216-lunyai-8217-lagi-1.157724#sthash.UWBBPT0L.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan