Jumaat, 13 November 2015

Bola sepak Malaysia makin tenat


 
BARISAN pemain negara berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Jordan semalam selepas dibelasah 6-0 oleh Palestin pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Amman kelmarin.

BOLA sepak Malaysia semakin tenat ekoran kekalahan 0-6 kepada Palestin pada perlawanan keenam peringkat Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan kelmarin.

Kekalahan tersebut boleh dikatakan sudah menutup peluang Malaysia yang menduduki ranking ke-171 dunia untuk meneruskan kemaraan pada dua kejohanan berprestij itu selepas mengalami kekalahan demi kekalahan dalam setiap perlawanan yang mereka harungi.

Selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Timor Leste pada 3 Oktober lalu, ramai yang menganggap skuad kendalian jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee itu akan berubah, tetapi masalah lama nampaknya tetap berulang.

Tiada keistimewaan berlaku kerana barisan pemainnya masih gagal menampilkan corak permainan bermutu tinggi.

Ekoran kekalahan tersebut, barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya tidak perlu memberi sebarang alasan kerana apa yang pasti, mereka masih kurang bijak bermain bola sepak.

Alasan takut, fobia atau tertekan sekadar mahu menutup kelemahan, lagi pun para peminat sukan No. 1 negara itu telah menyaksikan sendiri bagaimana pemain negara mudah diperbudak-budakkan oleh Palestin yang menduduki ranking ke-129 dunia pada perlawanan kelmarin.

Ekoran kekalahan tersebut, Kim Swee menjelaskan bahawa anak-anak buahnya seakan-akan sudah hilang fokus apabila bolos dua gol dalam tempoh seminit.

“Pemain macam ‘ketakutan’ untuk bermain seperti biasa dan akibatnya mereka terlalu mudah kehilangan bola yang dipergunakan sepenuhnya oleh Palestin untuk menguasai permainan.

“Kami sudah melakukan yang terbaik, tetapi dua gol Palestin itu telah membunuh rentak permainan kami,” jelas Kim Swee.



Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3rR9JRT7o Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan