Berikut butiran sidang media praperlawanan yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Ia menjelang perlawanan ketujuh Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, Malaysia lwn UAE di Stadium Shah Alam pada Selasa, 17 November 2015, sepak mula 8.45 malam.
Perlawanan akan berlangsung tanpa kehadiran penonton kerana Malaysia dikenakan hukuman tersebut oleh FIFA ekoran kekecohan penonton yang berlaku ketika perlawanan keempat bertemu Arab Saudi di stadium sama, 8 September lalu.
Hadir pada sidang media berkenaan ialah ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dan kapten skuad Harimau Malaya, Safiq Rahim serta ketua jurulatih UAE, Mahdi Ali.
Selepas tewas 6-0 kepada Palestin pada perlawanan keenam di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, Khamis lalu, Kim Swee telah memanggil lima pemain baharu - Safee Sali, Baddrol Bakhtiar, Azammuddin Akil, Jasazrin Jamaludin dan penjaga gol Harimau Muda B, Farhan Abu Bakar bagi melengkapkan senarai 23 pemain menghadapi UAE.
Mereka menggantikan Amri Yahyah yang mengumpul dua kad kuning, Razman Roslan dan Nazirul Naim Che Hashim yang cedera, Ahmad Hazwan Bakri yang melangsungkan perkahwinan minggu ini serta penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang isterinya bakal bersalin bila-bila masa.
Pada pertembungan pertama kedua-dua pasukan di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi, 3 September lalu, Malaysia tewas 10-0 kepada UAE.
Kedudukan Kumpulan A selepas enam perlawanan, Arab Saudi di tangga teratas dengan 13 mata diikuti UAE (10), Palestin (9), Malaysia (4) dan Timor Leste (2). Arab Saudi dan UAE bagaimanapun kurang satu perlawanan.
Satu lagi perlawanan yang berlangsung esok, Timor Leste menanti kunjungan Arab Saudi di Dili.
KOMEN KETUA JURULATIH SEMENTARA MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE
"Selepas melalui beberapa keputusan teruk sepanjang tahun ini, sudah tentu kami berharap dapat menebus semula maruah pasukan pada perlawanan terakhir bagi tahun 2015 ini dengan persembahan lebih baik.
"Apa yang penting, kami perlu fokus sepenuhnya kerana tahu UAE bukan pasukan yang mudah. Mereka sudah menjaringkan 20 gol jika dibanding dengan rekod bolos kami. Tapi saya percaya, dengan apa yang kami lakukan beberapa hari ini, kami mampu menghasilkan sesuatu.
"UAE menewaskan Timor Leste 8-0 minggu lalu tanpa Omar Abdulrahman. Tapi kini Omar kembali dan itu bukan perlu kami takuti sebaliknya perlu kami awasi.
"Bagi saya, corak permainan kami. Apa yang perlu dilakukan untuk mengatasi kekuatan UAE sebelum memikirkan apa yang boleh diperoleh daripada kelemahan lawan."
KOMEN KAPTEN MALAYSIA, SAFIQ RAHIM
"Saya percaya, semua pemain mahukan perlawanan terakhir 2015 ini yang terbaik untuk pasukan kebangsaan. Dengan kehadiran beberapa pemain baharu yang tidak beraksi ketika bertemu Palestin, saya harap kami dapat beri persembahan terbaik dan ikut arahan jurulatih.
"Sudah tentu kami tak mahu keputusan negatif berlaku sekali lagi esok. Semua pemain mahukan keputusan positif dan saya percaya semua memiliki maruah. Ini kerjaya kami dan pasti kami tak mahu orang berkata mengenai kerja kami. Jadi saya dan rakan-rakan akan cuba beri terbaik esok.
"Beraksi tanpa penonton, mungkin ada rasa sedikit kelainan kerana sebelum ini sentiasa ada penyokong dan semangat pasti berlainan jika ada penyokong. Apa pun, kami perlu teruskan perjuangan dan tidak akan luntur semangat walau tanpa kehadiran penyokong."
KOMEN KETUA JURULATIH UAE, MAHDI ALI
"Ini perlawanan penting kerana ia bakal menentukan peluang kami untuk layak ke pusingan seterusnya. Kami tak fikir lagi perlawanan pertama yang mana kami menewaskan Malaysia 10-0 di gelanggang sendiri. Ia sudah berlalu.
"Kami mengambil perlawanan kali ini cukup serius dan cukup bersedia. Saya gembira semua pemain boleh beraksi dan harap satu perlawanan yang baik buat kedua-dua pasukan.
"Saya mengharapkan agar perlawanan ini dihadiri penonton. Kami sentiasa mahu beraksi di hadapan penonton kerana jika main tanpa penonton, ia seolah-olah bukan perlawanan bola sepak. Jadi saya anggap ini bukan satu kelebihan pun buat pasukan kami."
SUMBER-http://www.fam.org.my/
SUMBER-http://www.fam.org.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan