PEMAIN skuad bola sepak negara
telah menunjukkan persefahaman yang baik terutama di jentera pertahanan
walaupun mereka tewas 1-2 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi
peringkat Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di
Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Demikian rumusan daripada
jurulatih sementara skuad negara, Datuk Ong Kim Swee selepas berakhir aksi yang
berlangsung di stadium tanpa kehadiran penonton itu.
Menurut Kim Swee, skuad
kendaliannya itu telah menunjukkan disiplin tinggi ketika bertahan dan berjaya
mempertahankan kubu mereka daripada dibolosi dengan lebih teruk oleh UAE
berbanding aksi pertama di Abu Dhabi pada 3 September lalu yang menyaksikan
skuad negara tewas 0-10.
“Perkara mustahak sekarang
ialah para pemain telah menunjukkan persefahaman semasa bertahan sebagai satu
unit. Kita sedia maklum bahawa UAE merupakan sebuah pasukan yang cukup kuat dan
sudah tentu kita cuba mempertahankan gawang daripada dibolosi.
“Saya tidak cakap gaya
permainan pasukan negara seratus peratus berhasil, tetapi kita telah
menunjukkan kemampuan jika kita betul-betul berdisiplin ketika bertahan.
“Jadi, ini satu tugasan yang
cukup mencabar dan kita telah melakukan yang terbaik untuk mengekang kemaraan
sebuah pasukan yang hebat seperti UAE,” kata Kim Swee pada sidang akhbar
selepas perlawanan malam kelmarin.
Jaringan menarik daripada Omar
Abdulrahman pada (M-20) dan kapten UAE, Ahmed Khalil pada minit ke-51 membantu
pasukan dari Timur Tengah itu membawa pulang tiga mata berharga. Jaringan
tunggal skuad negara dihasilkan oleh Baddrol Bakhtiar yang menanduk masuk bola
sepakan percuma daripada kapten, Safiq Rahim pada minit ke-58.
Kim Swee yang mengakui berasa
janggal bermain di stadium kosong tanpa penyokong berkata, pemain perlu
menunjukkan prestasi yang konsisten dalam setiap perlawanan, terutamanya
apabila bermain menentang pasukan lebih kuat di tempat lawan.
“Keputusan-keputusan sebelum
ini menyukarkan pemain untuk bermain dengan tekanan-tekanan daripada banyak
pihak dan yang penting di sini kita perlu membina pasukan jika mahu berhasrat
untuk memberi saingan pada masa hadapan.
“Kita tidak boleh menoleh ke
belakang tetapi harus mencari jalan penyelesaian untuk memantapkan pasukan,”
katanya.
Skuad negara sebelum ini pernah
dibelasah 10-0 oleh UAE pada kempen kelayakan ini selain dimalukan 6-0 oleh
Palestin sebanyak dua kali.
Sementara itu, kapten pasukan,
Safiq Rahim berharap semua rakan sepasukannya dapat meneruskan momentum
cemerlang dalam perlawanan-perlawanan akan datang.
“Kita sedia maklum bahawa UAE
merupakan antara pasukan terbaik di Asia, namun kita dapat mengekang asakan
mereka pada malam ini (kelmarin). Kita cuba baiki dan cuba dapat keputusan yang
baik. Saya rasa puas hati kita dapat menunjukkan satu aksi yang baik, cuma
keputusan tak berpihak kepada pasukan negara.
“Dengan cara permainan kita
pada malam ini (kelmarin), kita punya moral dan kekuatan mental juga semakin
pulih. Sebenarnya penyokong adalah penting bagi semua pemain dan pada setiap
perlawanan kita mahukan sorakan penyokong, mungkin kalau ada penyokong pada
perlawanan malam ini (kelmarin), kita mungkin mampu mempamerkan aksi yang lebih
baik,” kata Safiq.
Malaysia kini menduduki tempat
keempat dalam Kumpulan A dengan mengutip empat mata selepas mengharungi tujuh
perlawanan, manakala Arab Saudi yang membenam Timor Leste 10-0 kelmarin terus
menerajui kedudukan dengan 16 mata, diikuti UAE (13 mata) dan Palestin (9
mata), manakala Timor Leste menduduki tangga tercorot dengan dua mata.
Pada aksi terakhir peringkat
kumpulan, Malaysia akan berkunjung ke Arab Saudi pada 24 Mac tahun depan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3rtlOBYnn
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan