MOHAMMAD
ROZAIDI ZULKIFLI | 18 November 2015 12:22 AM
PEMAIN-PEMAIN Malaysia meraikan jaringan Baddrol Bakhtiar (tiga dari kiri) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia menentang UAE di Stadium Shah Alam semalam. Malaysia kalah 2-1. UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang berjaya diselamatkan oleh Harimau Malaya di Stadium Shah Alam yang kosong ketika bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 sungguh pun mereka tumpas 2-1 malam tadi.
Keputusan itu mengulangi kejutan ketika mereka mengekori Arab Saudi 1-2 pada 8 September lalu di venue sama sebelum perlawanan tersebut terpaksa dihentikan ekoran keganasan penyokong, yang menyebabkan Saudi kemudiannya diberikan kemenangan percuma 3-0 oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) manakala Malaysia terpaksa bermain di stadium kosong untuk satu perlawanan.
Meskipun kalah, anak didik Datuk Ong Kim Swee berupaya menyekat hajat skuad Timur Tengah itu untuk melakarkan kemenangan besar seperti dilakukan di Abu Dhabi pada 3 September lalu yang menyaksikan skuad negara dibelasah 10-0.
Bermula sepak mula penguasaan bola jelas didominasi pasukan yang menghuni tangga ke-67 ranking dunia itu namun pasukan negara berjaya mencipta satu peluang keemasan untuk menghasilkan gol pada minit ke-15 tetapi rembatan Ahmad Fakri Saarani tersasar.
Kubu Malaysia yang kental bertahan akhirnya dibolosi pada minit ke-21 selepas kesilapan Azammudin Mohd. Akil yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya sekali gus dihukum pemain tengah UAE, Omar Abdul Rahman yang melakukan rembatan lencong cantik ke penjuru kanan gawang gol negara untuk jaringan pertama pelawat.
Bagaimanapun barisan pertahanan negara yang diketuai Aidil Zafuan Abdul Razak nyata berjaya mengekang asakan jentera serangan pelawat daripada menambah jumlah jaringan sehingga tamat babak pertama.
UAE menambah gol kedua menerusi ketua pasukan Ahmed Khalil yang mudah memperdayakan penjaga gol negara Mohd. Izham Tarmizi pada minit ke-52.
Tersentak dengan jaringan itu skuad negara menyusun gerakan lebih kemas dan usaha itu berhasil apabila berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-58 menerusi tandukan Baddrol Bakhtiar yang menyambar sepakan bebas Shafiq Rahim ke hadapan gawang untuk sekurang-kuranganya menyelamatkan maruah di gelanggang sendiri.
Anak didik Kim Swee akan menutup tirai saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Putra Mohamed bin Fahd, Dammam pada 24 Mac tahun depan bagi perlawanan terakhir Kumpulan A.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaya-selamat-maruah-1.159416#sthash.SzPrRzE5.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan