Jumaat, 25 Oktober 2019

Tidak setuju Luqman diserap terus ke skuad kebangsaan

BERNAMA | | 23 Oktober 2019
 
Kim Swee
PENGENDALI skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee menggesa semua pihak bertenang dalam meraikan peningkatan prestasi pemain muda negara ketika ini terutama tonggak skuad B-18, Luqman Hakim Shamsudin.


Cadangan segelintir pihak yang mahu penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 AFC 2018 itu terus diserap ke dalam skuad senior kebangsaan sebagai alternatif menguatkan jentera serangan tidak dipersetujui Kim Swee.

Pengendali berusia 48 tahun itu yang pernah membimbing Malaysia merangkul pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, ingin melihat perkembangan prestasi Luqman serta beberapa pemain muda berpotensi negara yang lain secara berperingkat.


"Biar Luqman dan barisan pemain B-18 yang lain melalui kelayakan Kejuaraan B-19 AFC, kita jangan ganggu persiapan mereka kerana ia lebih penting di mana kalau layak ini akan memberi peluang yang lebih baik untuk mereka bersama skuad Sukan SEA sebagai permulaan.

"Saya tak setuju kalau kata Luqman terus pergi beraksi dengan skuad kebangsaan, biar dia naik secara berperingkat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Memperkasakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di sini.

Bagi Kim Swee, tumpuan meluas mengaitkan barisan pemain B-18 negara bersama skuad B-22 dan skuad kebangsaan bukan sahaja akan memberi tekanan kepada mereka, tetapi juga akan menjejaskan fokus menjelang pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-19 2020 di Kemboja bermula 2 Nov ini.

Menurut beliau, kelompok pemain skuad B-18 negara kini merupakan pemain yang bakal bersama skuad B-22 kendaliannya dalam misi mengintai peluang beraksi pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya tahu semua pemain mahu bermain dalam Sukan SEA tetapi kelayakan Kejuaraan B-19 AFC itu perlu menjadi keutamaan di mana skuad B-16 dan B-23 kita telah gagal, jadi sekurang-kurangnya kita mahu satu pasukan negara untuk layak.

"Mereka ini juga akan jadi pemain generasi seterusnya yang akan berjuang dalam kelayakan Sukan Olimpik 2024 jadi kalau mereka layak ke Kejuaraan AFC B-19 2020 ia menjadi platform pendedahan yang sangat bermakna," tambah Kim Swee.

Luqman antara 34 pelatih generasi pertama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah NFDP dan muncul pemain Malaysia pertama ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/53756/BERITA/Sukan/Tidak-setuju-Luqman-diserap-terus-ke-skuad-kebangsaan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan