Selasa, 15 Oktober 2019

Pemain B-18 bakal dipanggil


MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
 
KUALA LUMPUR: Dua pemain skuad Bawah 18 tahun (B-18), Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim Shamsudin mungkin dipanggil mewakili skuad senior pada tahun depan.

Pengendalinya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau sentiasa terbuka untuk menerima pemain muda bagi diserapkan ke dalam pasukan selepas melihat bakat dua pemain berkenaan pada kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-18, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemain muda sememangnya akan bermain dengan pantas dan menunjukkan persembahan lebih bertenaga seterusnya membantu pasukan merencanakan serangan ke kubu lawan.

“Dua pemain ini paling menonjol untuk skuad B-18 negara tetapi kami masih lagi memantau jadi mungkin tahun depan kita bagi peluang. Saya harap mereka bekerja keras kerana bakat saja tidak cukup untuk menjamin masa depan.

“Pemain senior juga diperlukan kerana mereka boleh membimbing pasukan. Kita tidak boleh melupakan pengalaman mereka. Saya mahu pemain muda belajar sesuatu daripada senior dan pada masa saya nak juga setiap kali latihan kita memanggil pemain baharu.

“Bagaimanapun, pada masa sama pasukan memerlukan keputusan jadi peluang tidak banyak untuk memanggil pemain baharu,” katanya di sini.

Luqman yang meledakkan empat gol pada pada kejohanan AFF B-18 selain menjadi watak penting mengejutkan Australia 3-1 pada saingan peringkat kumpulan dilihat antara calon terbaik untuk menggalas cabaran sebagai penggempur utama negara.

Mukhairi pula memainkan peranan sebagai kapten pasukan B-18 dengan baik, malah bijak mengawal bahagian tengah untuk pasukan negara.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 6:00 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan