SKUAD kebangsaan menjalani
latihan pada hari pertama sesi latihan sebagai persediaan menghadapi pusingan
kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, hari ini. -
BERNAMA
30 September 2019 10:56 PM
KUALA LUMPUR 30 Sept. - Pemain
Sabah, Mohd Azizan Nordin akan menyertai latihan skuad Harimau Malaya
selewat-lewatnya, esok setelah pemain tengah Pahang, Nor Azam Abdul Azih masih
bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialaminya pada saingan suku akhir
pertama Malaysia berdepan Melaka, baru-baru ini.
Ketua jurulatih Harimau Malaya,
Tan Cheng Hoe memaklumkan Mohd Azizan dipilih untuk menyertai sesi latihan
pusat skuad kebangsaan memandangkan pemain berusia 25 tahun itu pernah diberi
peluang beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa bersama
Malaysia pada tahun lepas.
Pengendali berusia 51 tahun itu
menegaskan, Nor Azam akan dikekalkan dalam skuad kebangsaan untuk beberapa aksi
penting selepas ini sekiranya kembali pulih daripada kecederaan buku lali yang
dialaminya.
"Kita masih harapkan Nor
Azam untuk terus berada dalam pasukan kebangsaan kerana dia beraksi dengan baik
(dalam beberapa perlawanan) pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia
2023 sebelum ini, dan kita masih menunggu keputusan daripada doktor pasukan
berhubung tahap kecederaannya," katanya.
Cheng Hoe berkata demikian ketika
ditemui pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Majlis
Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.
Selain Nor Azam, Cheng Hoe
mendedahkan empat pemain lain turut mengalami kecederaan ringan iaitu pemain
Selangor Abdul Halim Saari, selain tiga pemain Perak iaitu, J. Partiban,
Brendan Gan dan Shahrul Mohd Saad.
Dalam pada itu, Cheng Hoe melihat
aksi pemanas badan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 5
Oktober ini merupakan medan terbaik untuk menguji beberapa pemain yang baharu
dipanggil seperti pertahanan pasukan Johor Darul Ta'zim, Mohd Aidil Zafuan
Abdul Radzak dan penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.
Sementara itu, Shahrul Mohd Saad
menyifatkan kepulangan semula Aidil Zafuan ke dalam skuad kebangsaan menjadi
tonik terbaik kepada barisan pertahanan negara sebelum berdepan Vietnam pada
aksi keempat Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia
2023 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 15 Oktober ini.
Kapten Perak itu pada masa sama
turut berharap skuad kebangsaan dapat meraih kemenangan berdepan Vietnam bagi
menghidupkan peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya layak beraksi ke pusingan
akhir Piala Asia 2023 di China.
"Dengan kehadiran Aidil, ia
akan dapat membantu memperkuatkan barisan pertahanan negara pada kali ini
memandangkan pengalaman luasnya serta prestasi cemerlang yang ditunjukkan
bersama skuad kebangsaan sebelum ini," jelas pemain berusia 26 tahun itu.
Malaysia kini menduduki tangga
ketiga di belakang Thailand dan Emiriah Arab Bersatu dalam Kumpulan G pusingan
kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menerusi kutipan tiga mata
setelah beraksi dua perlawanan setakat ini. – BERNAMA
UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan