PRESIDEN Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (dua kiri) bersama Ketua jurulatih
Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sewaktu sesi latihan di Stadium Bolasepak Kuala
Lumpur, di sini, hari ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
01 Oktober 2019 9:10 PM
KUALA LUMPUR, 1 Okt. - Ketua
jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjelaskan bahawa pintu ke
pasukan kebangsaan itu sentiasa terbuka untuk semua pemain yang mempamerkan
aksi yang baik.
Bagaimanapun, beliau berkata
pemain-pemain harus menepati beberapa kriteria yang ditetapkan seperti faktor
umur, mampu menyerapkan cara permainan skuad itu, mempunyai bakat individu dan
teknik perlawanan yang baik.
Selepas beberapa tonggak seperti
Nor Azam Abdul Azih, J. Partiban dan Brendan Gan dan Shahrul Mohd Saad
mengalami kecederaan, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan untuk memanggil
pemain lain sekiranya perlu.
“Buat masa ini, kita nak melihat
perkembangan positif daripada Nor Azam, kerana beliau telah mempamerkan aksi
yang baik pada dua perlawanan sebelum ini (Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu).
“Tetapi harus di ingat bahawa
kita tidak boleh bergantung kepada satu-satu pemain sahaja. Yang penting,
sesiapa yang diturunkan pada perlawanan nanti, harus menunjukkan prestasi yang
baik,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari kedua sesi latihan skuad
Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe
berkata sebagai jurulatih, beliau turut mempunyai tanggungjawab untuk
melahirkan bakat-bakat muda selain membimbing pemain yang sedia demi masa depan
pasukan kebangsaan.
Walaupun mengejar keputusan
positif dalam kempen pusingan kedua, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia
2023, tetapi beliau mempunyai falsafah untuk memberikan peluang kepada pemain
muda dalam pasukan itu.
“Ianya penting kerana mereka
(pemain muda) merupakan masa depan. Mereka mempunyai tenaga untuk bermain,
manakala pemain senior mempunyai pengalaman bermain, jadi ia satu cabaran untuk
saya sebagai jurulatih membuat pilihan pemain.
“Memang betul pemain skuad Bawah
19 tahun, Luqman Hakim Shamsudin dan Mukhairi Ajmal menonjol, tapi kita masih
memantau dan mereka mempunyai kejohanan penting (kelayakan Kejohanan B-19 AFC
2020) pada Nov ini. Mungkin pada tahun depan baru kita akan beri peluang kepada
mereka, “ katanya.
Namun, beliau meminta
pemain-pemain muda untuk terus bekerja keras kerana masa depan mereka tidak
terjamin dengan bakat sahaja.
Skuad Harimau Malaya akan bertemu
Sri Lanka dalam aksi persahabatan pada Sabtu malam di Stadium Nasional Bukit
Jalil, sebelum bertemu Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi dalam aksi Kumpulan G,
kempen Kelayakan tersebut.
Sementara itu, pemain bahagian
serangan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi bertekad untuk mempamerkan aksi
terbaik pada kedua-dua aksi berkenaan, jika diberi peluang.
“Saya tidak dapat menjaringkan
gol ketika diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi peringkat kumpulan
Kejohanan AFF kerana agak gugup, tapi kali ini berlainan. Walaupun kualiti
permainan Vietnam dah meningkat, tak mustahil bagi kita untuk mengatasi
mereka,” katanya. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan