MyMetroArena
Oleh Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Baharu berusia 17 tahun, namun sudah menggalas tanggungjawab sebagai pertahanan utama negara seterusnya berjaya membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980.
Itu penangan pemain ‘hingusan’ era 1970-an iaitu Datuk Jamal Nasir yang diberikan kepercayaan oleh jurulatih Jalil Che Din dan M Kuppan untuk menyarung jersi skuad kebangsan walaupun ketika itu dianggap masih mentah dan tidak berpengalaman di pentas antarabangsa.
Percaturan itu sekali gus berjaya menaikkan nama legenda pasukan Pahang terbabit untuk membarisi skuad elit negara layak ke edisi Moscow, sebelum Malaysia memboikot temasya itu.
Jamal Nasir berkata, lipatan sejarah itu membuktikan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe perlu membuka mata dengan berani menyenaraikan pemain muda bagi memperkuatkan lagi pasukan.
Beliau berkata, pemain muda yang ada seperti Luqman Hakim Shamsudin seharusnya diberikan peluang dan ruang untuk beraksi bersama skuad senior tanpa perlu tunggu atau melalui tapisan hingga skuad Harimau Malaya terus kempunan mencipta kejayaan pada perlawanan akan datang.
“Buat apa nak tunggu dia (Luqman Hakim) main dulu untuk skuad bawah 23 (B-23) walaupun sudah sedia maklum kemampuannya terbukti ketika beraksi bersama pasukan bawah 18 (B-18).
“Jika mahu tunggu ketika dia berusia 21 tahun agak merugikan kerana mungkin akan berkarat atau tiada pengalaman di pentas antarabangsa bersama skuad senior.
“Jurulatih perlu berani tanggung risiko kerana jika keputusan meletakkan Luqman membawa hasil yang baik kepada pasukan negara sudah tentu ia pasti menyelesaikan masalah di posisi serangan yang sekarang ini masih lagi tercari-cari peledak terbaik untuk negara,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Sebelum ini, Arena Metro melaporkan bekas pemain kebangsaan era 1970-an, Datuk M Karathu menggesa supaya Cheng Hoe memanggil segera Luqman bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha di jentera serangan.
Gesaan beliau hadir selepas melihat aksi hambar penyerang negara khususnya dari aspek kelajuan dan kepantasan hingga menyebabkan setiap gerakan mudah dipatahkan pertahanan Vietnam sekali gus tewas 0-1 dalam aksi ketiga Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Jamal Nasir berkata, tiada istilah terlalu mentah atau kurang pengalaman hingga mendorong barisan kejurulatihan skuad kebangsaan tidak berani menyenaraikan pemain muda dalam skuad utama.
“Jika pemain sedia ada sudah tidak mampu menggalas cabaran atau kurang berbisa, jurulatih perlu tukarkan kepada yang lain termasuk senaraikan pemain muda.
“Kebanyakan pemain muda pasti mahu membuktikan sesuatu kepada jurulatih apabila diberikan kepercayaan seterusnya mempunyai komitmen tinggi untuk bersaing dengan pemain yang lebih tua,” katanya.
Pemain paling muda ketika ini yang diberikan tanggungjawab menyarung jersi skuad utama negara adalah Akhyar Rashid apabila mula menyertai pasukan terbabit pada tahun lalu ketika berusia 19 tahun.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan