Jumaat, 18 Oktober 2019

Tiada slot automatik

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
TIADA tempat automatik buat tiga pemain yang berlatih di Jepun, dalam skuad bawah 18 (B-18) tahun negara bagi menghadapi pusingan Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Kemboja, pada 2 hingga 10 November ini.

Pemain berkenaan adalah Luqman Hakim Shamsudin, Sikh Izhan Nazrel dan Ahmad Zikri Mohd Khalili

Ketua jurulatih skuad B-18, Brad Maloney berkata, ketiga-tiga pemain itu yang tidak bersama pasukan sepanjang dua siri aksi persahabatan menentang skuad B-18 Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai perlu membuktikan mereka mempunyai prestasi lebih baik berbanding pemain lain yang memperagakan aksi menarik di sana.

Dalam dua aksi pemanas badan di sana, skuad negara meraih kemenangan 1-0 sebelum tewas 1-3 pada aksi kedua bertemu tuan rumah.

"Tak ada jaminan buat mana-mana pemain dalam pasukan ini. Bagi saya, semua 28 pemain ada peluang untuk disenaraikan, malah ketiadaan tiga pemain yang ke Jepun membolehkan pemain lain bersaing untuk merebut tempat.

"Semua pemain kena bersaing untuk tempat masing-masing sebelum saya menamakan 23 pemain untuk di bawa ke Kemboja nanti," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.


Brad Maloney (kanan) mengendalikan sesi latihan bersama pemain. FOTO File NSTP
Skuad B-18 kini dalam tempoh persiapan terakhir sebelum mengharungi peringkat kelayakan yang menawarkan tempat ke pusingan akhir kepada juara setiap kumpulan beraksi di Uzbekistan tahun depan.

Pada saingan kelayakan itu nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan G bersama tuan rumah Kemboja, Thailand, Brunei dan Kepulauan Northern Mariana.

Tambah Maloney, taring skuad kendaliannya akan terus diasah dalam dua aksi persahabatan lagi menentang Sri Lanka dan Taiwan dengan masing-masing pada 25 dan 26 November ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 11:22 PMsum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan