Selasa, 29 Oktober 2019

Berpeluh Korea nak kalahkan Malaysia

MyMetroUtama
 
Daripada Aziman Rosdi Kunshan dan China
aziman@nstp.com.my
LANGKAH skuad negara pada kempen Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun (B-23) akhirnya terhenti di suku akhir apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan di Stadium Kunshan, China sebentar tadi.

Skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee cuba bangkit untuk melakar satu lagi sejarah selepas ketinggalan menerusi jaringan terpantas kejohanan oleh Cho Jae Wan dengan mengikat kedudukan hasil percubaan pemain gantian N Thanabalan pada babak kedua.

Namun, impian itu berkecai dengan jaringan kemenangan lawan menerusi Han Seung Gyu lima minit sebelum permainan tamat.

Biarpun dihimpit dengan masalah kecederaan beberapa pemain, Kim Swee masih mengekalkan hampir semua kesebelasan utama ketika menewaskan Arab Saudi 1-0 sebelum ini dengan hanya memasukkan Nik Akif Syahiran menggantikan R Kogileswaran di bahagian serangan.

Belum sempat pemain negara mengatur permainan, mereka dikejutkan dengan serangan awal Korea Selatan dari sebelah kanan.

Rembatan padu Jae Wan gagal diselamatkan penjaga gol negara, Haziq Nadzli ketika saingan baru memasuki 15 saat.

Namun jaringan awal skuad naib juara 2016 itu tidak menyentap semangat juang anak buah Kim Swee yang cuba menguasai permainan ketika pemain lawan kelihatan bergelut kepenatan.

Penjaring dua gol negara di peringkat Kumpulan C, Safawi Rasid memiliki dua peluang terbaik pada minit ke-16 dan masa tambahan babak pertama, namun diselamatkan penjaga gol, Kang Hyeon Mu.

Biarpun memperlahankan permainan, Korea Selatan yang dibimbing Kim Bong Gil tetap bahaya dengan serangan pantas dan hampir menambah jaringan pada minit ke-31, namun Haziq cemerlang ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan Lee Kuon Ho.

Ketinggalan satu gol, Malaysia bangkit mengasak dan hampir membolosi gawang Korea Selatan

menerusi percubaan Adam Nor Azlin dan Safawi tetapi gagal menepati sasaran.

Kim Swee melakukan dua pertukaran dengan memasukkan N Thanabalan bagi mengambil tempat Akhyar Abdul Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak bagi memantapkan bahagian serangan.

Percaturan itu berbaloi apabila Thanabalan yang mengalami hamstring dan direhatkan ketika Malaysia seri 1-1 dengan Jordan dan menang 1-0 ke atas Arab Saudi membuktikan bisa tandukannya dengan menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-67.

Namun, kelincahan Seung Gyu gagal dihalang pertahanan negara yang menyaksikan dia menyumbat gol kemenangan Korea Selatan pada minit ke-85 bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir menentang Uzbekistan Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 6:18 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan