MACAN MALAYA
30 APRIL 2016
Bencana Kuwait '81 benam Galacticos Malaysia
Peter Rajah melepaskan dua gol ketika seri dengan Thailand 2-2.
Bencana Kuwait '81 benam Galacticos Malaysia
KALAU 6 April 1980 sentiasa dikenang sebagai detik emas bola sepak Malaysia sepanjang zaman, bagaimana pula dengan kempen Kelayakan Piala Dunia Kumpulan 3 Asia di Kuwait dari 21 hingga 27 April 1981?.
Dijulang selaku perwira di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur kerana layak ke Sukan Olimpik Moscow, skuad yang hampir sama tiba-tiba dikecam sebagai petualang dalam peristiwa yang digelar ‘Bencana Kuwait 1981’!.
Korea Selatan yang dijinakkan 2-1 dalam Kelayakan Olimpik, membalas dendam manakala Kuwait yang dibenam angka sama ketika Pestabola Merdeka 1980 di ibu kota, membelasah skuad Karl Heinz Weigang ini 4-0 di Stadium Al Qadisiya.
Anehnya, Malaysia ketika itu turut dibanjiri tonggak Kelayakan Olimpik seperti James Wong, Hassan Sani, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Datuk Shukor Saleh, Bakri Ibni, Datuk Jamal Nasir Ismail, mendiang Datuk R Arumugam dan Khalid Ali.
Juga kembali memperkasa negara ialah penyerang terbilang, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sekali gus gandingannya dengan James dan Hassan, amat dinanti-nantikan seperti ketika mereka menjuarai Sukan Sea Jakarta 1979.
Anggota lain skuad yang di bawah pengurusan Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud itu termasuk mendiang Peter Rajah, S Pushpanathan, Allahyarham Yahaya Jusoh, Aw Kim Leong, Ahmad Yusoff, Muhidin Hussin, Zulkifli Hamzah dan G Torairaju.
Namun Galacticos Malaysia ini (mirip Real Madrid atau JDT sekarang) yang turut disertai pemain profesional kelab Hong Kong, Chow Chee Keong dan Yip Chee Keong, hanya mampu mengutip satu mata dan menduduki tempat kedua corot kumpulan itu.
Di balik kemalapan bintang-bintang ini, muncul ‘wira tidak didendang’ – Ibrahim Din, pemain Angkatan Tentera yang menyumbat dua gol untuk mengikat Thailand 2-2 dalam perlawanan pelengkap jadual sambil Malaysia mengucapkan Adios Espana 82’! (Sepanyol, tuan rumah Piala Dunia).
Hampir 10 tonggak skuad ini kemudiannya digugurkan atas alasan telah dimamah usia, manakala tugas Weigang (warga Jerman) berpindah kepada anak tempatan, Allahyarham Jalil Che Din, jurulatih skuad negara pada Sukan Olimpik Munich 1972.
Itulah kegagalan Kelayakan Piala Dunia Malaysia yang ketiga selepas di Seoul 1973 dan Singapura 1977, namun sekadar untuk melegakan sedikit luka besar itu ialah hakikat bahawa Kuwait yang dilatih Carlos Alberto Parreira dari Brazil memang bukan calang-calang pasukan.
Di Espana ‘82, juara Piala Asia 1980 itu berjaya mengikat Czechoslovakia 1-1, namun dibenam oleh pemenang tempat keempat Piala Dunia itu, Perancis 4-1 dan hanya kalah tipis 1-0 kepada England dalam aksi Kumpulan 4.
SUMBER-SINAR HARIAN 30 APRIL 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan