Oleh Aziman
Rosdi
Kuala
Lumpur: Pemain muda negara Wan Zack Haikal Wan Noor tiba di tanah air semalam
dari Jepun selepas mendapat kebenaran kelabnya FC Ryukyu untuk mendapatkan
rawatan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya ketika sesi
latihan Selasa lalu.
Perkara itu
disahkan jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee yang mahu pemain berusia 22
tahun itu menjalani rawatan rapi segera di negara ini untuk mengetahui sejauh
mana tahap kecederaan itu.
“Zack (Wan
Zack Haikal) sudah sampai di Kuala Lumpur tadi (semalam) dan dia akan menjalani
ujian pemeriksaan dengan doktor pakar esok (hari ini) bagi mengetahui lebih
lanjut tahap kecederaan dialaminya. Dia kembali ke sini atas permintaannya
sendiri dan mendapat kebenaran pihak FC Ryukyu.
“Pada saya
lebih baik dia menjalani rawatan di sini kerana memudahkan kami untuk memantau
keadaannya dan kita juga mempunyai doktor pakar bagi rawatan pemulihan nanti,”
katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.
Foto
KIM Swee
berpendapat lebih elok Wan Zack terima rawatan di Malaysia.
Kecederaan
Wan Zack Haikal memberikan perkhabaran buruk buat skuad kebangsaan yang
mengharapkan pemain sayap lincah itu akan dapat beraksi bersama bagi perlawanan
persahabatan antarabangsa dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Shenzen, China 9
Oktober ini sebelum menentang Bahrain pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015
pada 15 Oktober di Stadium Shah Alam.
Mengikut
laporan awal, kecederaan ACL itu bakal menyebabkan pemain kelahiran Maran,
Pahang itu tidak dapat beraksi dalam tempoh enam hingga sembilan bulan sekali
gus menyaksikan peluangnya untuk mewakili skuad bawah 23 tahun negara ke Sukan
SEA Myanmar, Disember ini lebur.
Menurut Kim
Swee, Wan Zack Haikal akan menjalani rawatan di Malaysia hingga pulih
sepenuhnya dan pengendali itu masih mengharapkan keajaiban agar pemain terbaik
kejohanan Pestabola Merdeka itu dapat bersama skuad negara ke Myanmar bagi misi
mempertahankan pingat emas.
“Dia akan
berada di sini hingga betul-betul sembuh. Walaupun dia dibenarkan pulang, gaji
dan segala perbelanjaan rawatan ditanggung kelabnya. Kita tunggu dulu laporan
doktor dan selepas itu baru kita boleh tahu sama ada dia boleh bermain (Sukan
SEA) atau tidak,” katanya.
Wan Zack
Haikal menandatangani kontrak dua tahun dengan FC Ryukyu yang juga kelab bahagian
tiga Jepun, Mac lalu bersama dengan seorang lagi pemain pertahanan Nazirul Naim
Che Hashim yang kini masih kekal bersama kelab itu hingga kontraknya tamat
hujung tahun ini.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : 2013/10/04
Tiada ulasan:
Catat Ulasan