SABTU, 26 MAC 2016 @ 3:16 P
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bharian.com.my
KAPTEN pasukan negara, Safiq Rahim (kiri). - Foto Owee Ah Chun MELAKA: Perancang tengah yang juga kapten pasukan negara, Safiq Rahim tetap positif walaupun pasukan negara tewas di tangan Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi, Jumaat lalu.
Menurutnya, kekalahan berkenaan memberi pengalaman dan menyuntik kematangan permainan terutama berdepan lawan gah di Asia itu. Katanya, berjaya mengekang tuan rumah serta bertindak cemerlang dengan semangat juang tinggi jelas memberi suntikan moral buat pasukan negara untuk berdepan Macau pada aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Selasa ini.
Beliau berkata, walaupun ranking pasukan pelawat berada di bawah Harimau Malaysia namun ia tidak harus dipandang mudah kerana kedudukan itu tidak akan selamat jika komitmen tinggi tidak dipersembahkan. "Ranking tidak memberi makna dalam perlawanan ini, jika menganggap lawan bukan pencabar hebat, kerana sesebuah pasukan yang memiliki perbezaan jauh dalam ranking juga boleh mengejutkan mana-mana lawan pada aksi sebenar. "Malah pasukan negara hanya tewas 0-2 kepada Arab Saudi juga tidak menggambarkan kekuatan sebenar berikutan jika diukur standard tentu mereka boleh menang besar ke atas kita terutama jika ranking di ambil kira," katanya selepas sesi latihan ringan pemain negara di Bandar Hilir, sebentar tadi.
Safiq berkata, dia dan rakan-rakan akan beraksi dengan penuh komitmen dalam memastikan kemenangan pasukan negara pada pertemuan terbabit. "Buat satu ketika kami perlu melupakan play-off kelayakan Piala Asia sambil memberi fokus terhadap saingan berdepan Macau. "Bukan melupakan terus saingan play-off dijadualkan Jun depan itu namun kami mahu tumpuan terarah kepada satu perlawanan demi satu perlawanan terlebih dulu," katanya. Sementara itu, penolong jurulatih negara, Hasan Sazali berkata, dia juga berpuas hati dengan aksi berdepan Arab Saudi walaupun menyedari lawan sebuah pasukan hebat. Katanya, keserasian permainan dapat dilihat dalam perlawanan berkenaan sekali gus dapat menyerap taktikal yang direncana ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/137518
Tiada ulasan:
Catat Ulasan