ARKIB : 31/10/2006
BANGALORE Malaysia berdepan
laluan perit untuk memburu tempat ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Belia Asia
apabila tewas 2-1 kepada Vietnam pada perlawanan pertama Kumpulan D di Stadium
Sree Kanteerava di sini, semalam.
Ia adalah kekalahan pertama
skuad bawah 20 tahun negara bimbingan jurulatih, K. Rajagopal kepada pasukan
itu selepas mereka seri 2-2 dalam Kejohanan Belia AFF di Kuantan, bulan lepas.
Gol jaringan sendiri pemain
Malaysia, Baddrol Bakhtiar pada minit kesebelas menjadi titik tolak kekalahan
skuad negara.
Baddrol tertanduk masuk bola ke
gawang sendiri ketika cuba menghalang satu hantaran lintang pemain Vietnam,
Nguyen Tinh Quang.
Sepanjang 45 minit babak
pertama selepas itu, Malaysia menguasai permainan dan banyak melakukan
percubaan dalam berusaha memburu gol penyamaan.
Skuad negara akhirnya berjaya
menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri pada masa
kecederaan babak pertama.
Gol berpunca daripada percubaan
ke gawang Vietnam oleh Safiq Rahim dari jarak 40 meter tetapi bola sepakan
Safiq itu disambung dengan tandukan Mohd. Khyril yang terus menerjah jaring
melepasi jangkauan penjaga gol Vietnam, Nguyen Binh Thanh.
Begitupun, Tinh Quang
meranapkan impian Malaysia apabila menjaringkan gol kemenangan Vietnam pada minit
ke-63 dengan merembat melepasi penjaga gol negara, Abdul Hadi Abdul Hamid.
Kekalahan itu meletakkan
Malaysia di tangga terbawah kumpulan selepas satu perlawanan, di bawah Iraq dan
Arab Saudi yang masing-masing mengutip satu mata selepas kedua-dua pasukan seri
2-2 dalam perlawanan terdahulu.
Vietnam di tangga teratas
dengan tiga mata.
Malaysia akan bertemu Arab
Saudi pada perlawanan kedua esok manakala Iraq menentang Vietnam.
Sementara itu, jaringan gol
Mohamed Halkard pada lewat permainan membolehkan juara lima kali, Iraq mengikat
Arab Saudi 2-2.
Iraq ketinggalan dua kali dalam
perlawanan pembukaan kumpulan itu tetapi bangkit untuk menamatkan perlawanan
sengit itu dengan berkongsi mata.
Arab Saudi, juara dua kali
kejohanan ini, mendahului menerusi gol jaringan Ahmad Kabee pada minit
kesembilan sebelum Alaa Khahen menyamakan kedudukan untuk Arab Saudi pada
minit ke-27.
Mohamed Al Sahlawi kembali
meletakkan Arab Saudi di depan pada minit ke-52 tetapi Halkard menyamakan
kedudukan lapan minit sebelum tamat perlawanan.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz45Jtehzw7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan