ARKIB : 21/01/2006
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
PETALING JAYA - Sepuluh pemain yang
membantu Malaysia memenangi pingat gangsa acara bola sepak Sukan SEA ke-23 di
Filipina, bulan lalu dipanggil semula menjalani latihan skuad kebangsaan bagi
menghadapi New Zealand dalam dua perlawanan persahabatan, bulan depan.
Mereka ialah K. Linggam, Ronny Harun, V.
Thirumurugan, Ahmad Azlan Zainal, Mat Saiful Mohammad, Zairo Anur Zalani, Mohd.
Fadzli Saari, Azi Shahril Azmi, Rudie Ramli dan R. Surendran yang membarisi
skuad Bawah 23 Tahun sebelum ini.
Turut disenaraikan semula ialah tonggak
skuad ketiga terbaik Piala Tiger 2005 iaitu Syamsuri Mustaffa, Norhafiz Zamani
Misbah, Kaironnisam Sahabudin Hussain, K. Nanthakumar dan Amri Yahyah.
Bagaimanapun ketara tercicir menjelang
pertemuan dengan All White di Christchurch dan Albany, Auckland pada 19 dan 23
Februari ialah ketua pasukan Piala Tiger, Rosli Talib.
Tidak disenaraikan juga ialah Shukor Adan,
Ahmad Tharmini Saiban dan D. Surendran (Selangor), Liew Kit Kong (MPPJ),
Hairuddin Omar dan V. Saravanan (Pahang) serta pemain Perlis, Ivan Yusoff.
Penyerang Selangor, Khalid Jamlus dan Mohd.
Nor Ismail dari Perak yang menyerlah dalam Piala Tiger dan Sukan SEA, turut
tiada kali ini tetapi agak mengejutkan ialah kembalinya sayap kiri Pahang,
Indra Putra Mahyuddin dalam senarai 25 pemain.
Muka baru yang turut dipanggil melapor diri
di Wisma FAM mulai Selasa ini ialah penjaga gol, Nasril Nourdin; P. Gunalan,
Fazli Baharuddin, Hardi Jaafar, Yazli Yahya, Saramsak Kram dan Mohizam Shah
Dawood Shah.
Faizal Rashid, anak bekas penjaga gol
kebangsaan, Rashid Hassan juga mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Norizan
Bakar dan Safee Sali, penyerang Sarawak yang digugurkan daripada skuad Sukan
SEA.
Sesi latihan kali ini yang akan dihimpit
jadual padat Liga Super dan Liga Perdana, ditetapkan sehingga 31 Januari dan
kesemua pemain diarah melapor diri kepada penolong jurulatih kebangsaan, Nasir
Yusof.
Selain New Zealand, Setiausaha Agung
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata,
Malaysia akan menghadapi Singapura dalam dua lagi perlawanan persahabatan
secara timbal balik, pada hujung Mei dan awal Jun.
``Kita juga bekerjasama melangsungkan
perlawanan antara juara Liga Super, Perlis dengan juara Liga Singapura,
Tampines Rovers dan§ juara Piala FA, Selangor menentang juara Piala Singapura,
Home United.
Katanya, FAM sedang menimbangkan
kemungkinan menghantar skuad Bawah 20 Tahun bimbingan K. Rajagopal ke Piala
Singapura jika tidak menjejaskan program persediaan mereka.
Skuad ini yang akan menghadapi pusingan
akhir Kejohanan Asia di Kolkata pada 29 Oktober hingga 12 November, telah
dirancang untuk menjelajah India, Asia Barat dan Eropah sebagai sebahagian
persediaan mereka.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44jAWZcrL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan