Jumaat, 15 April 2016

Hamidin optimis layak Piala Asia 2019, juara Piala AFF

Kuala Lumpur: Ketika prestasi Harimau Malaysia masih tidak menentu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin masih meletakkan kepercayaan penuh kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk layak beraksi di Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menjuarai Piala AFF hujung tahun ini.

Beliau berkata, hajat besar itu hanya boleh dicapai jika pemain kebangsaan mampu memberikan aksi maksimum mereka dalam dua kejohanan berkenaan.


“Pada pandangan saya, pasukan kita jika boleh beraksi di tahap maksimum tidak mustahil boleh menjadi juara Piala AFF. Selain itu, tidak mustahil juga kita boleh layak ke pusingan akhir Piala Asia di UAE.

“Kalau betul ‘ramuannya’ dan semua pihak membantu skuad kebangsaan, saya percaya pasukan ini mampu pergi jauh. Kalau nak layak ke Piala Dunia, tahap pasukan ini belum sampai.

“Tapi sekurang-kurangnya kita sudah buktikan sebelum ini kita hanya kalah dengan Thailand di gelanggang lawan dan menang di sini (Piala AFF 2014).

“Maknanya walaupun Thailand, Vietnam berada di ranking lebih tinggi tapi kita tetap ada kemampuan tersendiri,” kata Hamidin semalam.

Tahun ini, Harimau Malaysia masih belum mempamerkan aksi meyakinkan apabila tumpas 0-2 di tangan Arab Saudi pada pusingan kelayakan serta seri 0-0 dengan pasukan kerdil Macau bulan lalu.

Lebih memeritkan ranking Malaysia awal bulan ini mencatat rekod terburuk apabila merosot ke tangga 174 dunia.

Beberapa langkah sudah dirangka bukan saja untuk memantapkan pasukan kebangsaan malah memperbaiki ranking itu dengan mengatur sekurang-kurangnya 11 perlawanan persahabatan kelas A selepas ini tidak termasuk aksi play-off kelayakan Piala Asia 2019 dengan Timor Leste pada 2 dan 7 Jun depan.

Antara aksi persahabatan yang sudah disahkan setakat ini adalah menentang Myanmar di Yangon pada 28 Mei, Jelajah Ocenia menentang Papua New Guinea (17 Jun), New Caledonia (22 Jun) dan Fiji (26 Jun) serta Singapura (1 September) di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 8:50 AM


- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/130627#sthash.q6JMjDBg.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan