ARKIB : 20/01/2007
PETALING JAYA Skuad bola sepak Olimpik negara mempamerkan potensi besar biarpun tewas 1-2 kepada skuad bawah 21 tahun Denmark dalam perlawanan persahabatan pertama di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Malaysia bagaimanapun lebih dulu mengejutkan Denmark dengan gol pendahuluan menerusi tandukan pemain pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak pada minit ke-60.
Tiga minit sebelum itu, penjaga gol negara, Syed Adney Syed Hussein turut cemerlang menyelamatkan sepakan penalti yang diambil ketua pasukan Denmark, Michael Jakobsen.
Hanya selepas Malaysia memperlahankan rentak permainan serta membuat beberapa pertukaran pemain utama, barulah Denmark mampu membolosi benteng skuad negara dua kali pada minit ke-68 dan 73.
Apa yang boleh dibanggakan ialah kemampuan pemain negara menyaingi badan bersaiz besar serta ketinggian yang dimiliki pemain Denmark .
Menurut jurulatih negara, B. Sathianathan, skuad Denmark ini adalah pasukan yang kuat kerana pernah menewaskan skuad Belanda dan Turki sebelum ini.
Memang kita tunggu untuk bermain dengan pasukan kuat seperti ini. Namun hari ini (semalam) semangat pemain saya berjaya menyaingi kehebatan mereka.
Tetapi apa yang lebih penting bagi saya menerusi perlawanan pertama ini ialah untuk membentuk persefahaman lebih baik antara pemain.
Di samping itu, tumpuan saya juga lebih kepada menguji barisan pertahanan yang saya anggap bahagian paling lemah untuk diatasi ketika ini, katanya selepas perlawanan.
Sathianathan seterusnya menjangkakan Denmark akan mengubah corak permainan dan barisan pemainnya apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di tempat yang sama pukul 8.45 malam esok.
Sehubungan itu, beliau bercadang untuk menurunkan kesebelasan utama pilihannya untuk menghadapi perlawanan persahabatan kedua itu.
Skuad negara kini sibuk mengatur beberapa perlawanan persahabatan seperti ini sebagai persiapan menghadapi Syria pada pusingan kelayakan Olimpik, 28 Februari ini diikuti Jepun selepas itu.
Namun, skuad bimbingannya masih tidak dapat menggunakan khidmat empat pemain tonggak iaitu Shafiq Rahim, Khairyl Muhaimeen Zamri, Saramsak Kram dan Azril Shahril Azmi yang kini bersama skuad kebangsaan menghadapi separuh akhir Piala AFF menentang Singapura, Selasa ini.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz44ZSNYa3v © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan